Wednesday, March 23, 2016

* KEHILANGAN YANG PASTI

"Pagi tadi ana berkesempatan singgah di "Bungalow Mampumilik" sahabat kita di Batu Muda. Dalam diam tak sampai seminit baru di lobi di singgahsananya, berkaca di kelopak secara tiba-tiba. Ana tenung dan amati sekeliling tak pula berjerubu. Tiada pula habuk-habuk yang berterbangan. Jujurnya suasana tenang meratah pandangan dengan lot-lot bunglow masing-masing yang berdiri gagah teratur bersulam kehijaun dedaun subur. Makin lama baru ana sedar, inilah tempatnya atau sepertinya yang pasti akan ana miliki juga suatu hari nanti.

Hampir sejam setelah usai "Berlagu Tak Berirama", ana bertambah yakin, itulah simbolik tanda kasih pada sang pencipta serta harga sebuah ikatan yang terpisah sementara. Tiada kalimat yang mampu ana ucapkan selain kalungan kesyukuran pada Allah Aa'za Wa'Jalla yang mengambil kembali nikmat sementara yang dipinjamkan.

Betapa sahabatku telah setahun lebih pergi pada yang hak meninggalkan anak isteri tercinta, ana serta sekalian saudara dan teman-teman. Tiada lagi gurau senda untuk kita sama-sama berceloteh dengan teman-teman di wall FB atau WhatsApp. Tiada lagi jenaka di warung-warung kopi. Pun begitu, ana tetap pasrah kerana masih ramai kawan-kawan yang belum pergi sudi berlagu dan bersapa tanpa jemu dengan karenah ana. Mungkin esok hari ana pula mendiami Bungalow Mampumilik itu.

Apapun, janganlah dicemburui kerana yang tersirat itu pasti akan tersurat di noktahnya. Yang masih dapat menatap celoteh ana ini lagi, syukur Alhamdulillah. Sama-samalah kita bersiap siaga. Buat yang telah pergi dulu sebelumnya, kalungan doa dari ana sehingga kita bertemu kembali.

Kepadamu sahabat ana Almarhum Roni Bin Mat Zin, kamu tetap dalam ingatan kami."

*Begitulah sayunya sebuah rentetan cerita dan kata-kata dari seorang sahabat setia, mengenai sebuah kehilangan yang telah sama-sama kami lalui. Sungguh amat mengharukan sehingga tidak sedar berjatuhan ke pipi, butiran airmata hiba. Sesungguhnya kehilangan itu pasti akan dirasai oleh kita semua bila tiba saatnya.
  
Terima kasih buat Amiry yang masih bersamaku di sini dan Al fatihah buatmu sahabat yang telah lama pergi. Hanya doa mampu kutitipkan agar rohmu dirahmati Tuhan. Amin.


~ Thank You ~

No comments:

Post a Comment

DISCLAIMER
Ini adalah blog peribadi. Segala maklumat di dalam blog ini hanyalah untuk simpanan penulis sebagai rujukan di masa akan datang samada yang dipetik dari media mahupun dari hasil daya fikir penulis sendiri. Sila rujuk sumber yang lebih sahih sekiranya terdapat maklumat atau fakta yang mungkin mengelirukan.

Terima kasih.
Sila datang lagi.

Penulis blog: Ozie Mahsa

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...