Sunday, November 20, 2016

* CERITERA ALAM ~ KEMANA HILANGNYA SIFAT KEHAMBAANMU?

Don`t act like you`re better than somebody else....
~ Ozie

Image result for kejayaan

Dari tak punya apa-apa, dia kini telah memiliki segala-galanya. Biarpun secara zahirnya dia masih kelihatan sama seperti yang dulu kerana dia bukanlah jenis orang yang suka mempamirkan kekayaannya. Namun dari sedikit ceritanya saat kami berbicara, dia kini telah pun berada di ambang kejayaan sepertimana yang diimpikannya selama ini. Memang agak terserlah perasaan bangga dari riak wajah lelakinya yang sememangnya kelihatan bahagia. Dari gaya bahasanya, dia yakin benar bahawa kejayaan yang dikecapinya selama ini adalah dari usaha kerasnya sendiri. Namun yang membuat hati saya tersentuh dan berasa agak sedih, kedengaran seolah-olah dia sudah mula tidak percaya bahawa sesungguhnya rezeki itu datangnya dari Allah.

Dalam perbualan kami yang agak singkat dari pertemuan yang tidak direncana itu, sempat juga saya renung hambar wajah teman saya yang tampak "keriakkannya". Saya sudah mula hilang minat untuk meneruskan bicara, kerana saya sememangnya tidak betah dengan sikap orang yang suka berbangga-bangga. "Orang yang tidak berpelajaran seperti aku pun mampu hidup mewah seperti orang lain yang susah payah belajar demi mencapai kelulusan tinggi." Seolah-olah saya dapat fahami, itulah maksud sebenar dari beberapa baris ayat yang dilemparkan kepada saya ketika itu. Sungguh tidak cerdik andai benar dia beranggapan begitu, bisik hati saya yang barangkali sedikit cemburu dengan kejayaan yang diperolehinya. Berdosa mungkin saya, kerana berprasangka begitu.

Hmm...biarlah dia dengan dunianya. Saya malas peduli atau ambil kesah tentang dia lagi. Begitu saya mendidik hati agar tidak membenci teman sendiri. Namun setelah beberapa lama, tanpa saya pinta, ada cerita mengenai dia, sampai ke deria dengar saya dan menyucuk pedih jantung ini. Dia bukan dia yang dulu lagi. Seorang insan yang saya kenali sejak puluhan tahun lamanya, sangat berbudi bahasa, bertanggungjawab, pemurah, suka membantu dan sangat mesra dengan sesiapa saja yang ditemuinya. Senyumannya biarpun tidak semanis gula, tapi cukup untuk buat orang lain rasa bahagia.

Kini semua sifat-sifat mulia yang dimilikinya dulu telah pergi, hilang dan mungkin pupus sama sekali ditenggelami kekayaannya. Dia kini, semakin sombong, angkuh, kedekut, tidak peduli lagi dengan derita orang lain malah tidak bertanggungjawab terhadap keluarga sendiri. Dibiarkan keluarganya menderita susah tidak dibantu bahkan dicemuh dan dibenci.

Sungguh kasihan. Bukan kepada yang dicemuh dan dibenci, tetapi kepada yang mencemuh dan membenci. Dia pasti akan kehilangan rahmat Ilahi suatu ketika nanti andai sifat-sifat buruk itu terus hidup mengiringi kejayaannya. Lupa mungkin dia, bahawa kejayaan yang dimilikinya adalah di atas keizinan Penciptanya.

Hari ini dan di sini saya hanya mampu mendoakan kesejahteraannya dari jauh. Moga dia dilimpahkan hidayah dan segera berubah. Buat masa ini saya tidak berani menasihati atau bersuara walau sepatah kata pun. Lagi pula, saya sememangnya tidak suka berurusan dengan orang-orang yang "kurang cerdik" akalnya kerana mereka yang begini akan berasa dirinya lebih bijak dari kita sehingga kita sendiripun akan dipersenda. Dari timbul pertengkaran dan bermasam muka, lebih baik saya mengekalkan kesabaran dan menjadikan sikap buruknya itu sebagai pengajaran.

Terima kasih buat insan-insan yang pernah menyerikan hidup saya dan masih menerima saya seadanya sebagai sahabat di alam fana ini. Insyaallah, keikhlasan anda semua akan dibalas di akhirat sana. Dan semoga tidak hilang sifat-sifat kehambaan kita biarpun ghairah dalam mengejar kejayaan di dunia. Inshaallah

~ Thank You ~

No comments:

Post a Comment

DISCLAIMER
Ini adalah blog peribadi. Segala maklumat di dalam blog ini hanyalah untuk simpanan penulis sebagai rujukan di masa akan datang samada yang dipetik dari media mahupun dari hasil daya fikir penulis sendiri. Sila rujuk sumber yang lebih sahih sekiranya terdapat maklumat atau fakta yang mungkin mengelirukan kerana pihak kami tidak akan bertanggungjawab di atas apa-apa kerugian dari penggunaan sebarang info atau maklumat dari blog ini.

Terima kasih.
Sila lawati kami lagi.

Penulis blog: SURI SUTERA

Powered By Blogger
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...