Thursday, January 31, 2013

* KISAH IKHTIBAR ~ ROTI SANDWIC + BUTTER


Gambar Hiasan

                                    Masa kini kebanyakan ibu bapa terpaksa bekerja kuat demi memenuhi tuntutan hidup yang semakin mendesak sehinggakan ada yang tidak sempat ambil tahu tentang keperluan anak-anak apatah lagi untuk memahami perasaan dan kehendak mereka. Segala beban tugas terpaksa diserahkan sepenuhnya kepada pengasuh atau pun pembantu rumah. Begitu jugalah kisahnya dengan salah seorang sahabat saya ini. Kedua-dua suami dan isteri terpaksa keluar awal pagi dan pulang hampir waktu senja. Mereka hanya sempat berpesan kepada pembantu rumah agar memberikan wang saku dan menyiapkan bekalan untuk anaknya yang bersekolah pada sesi petang. Pembantu rumah pula tanpa banyak soal jawab, melakukan saja apa yang disuruh.

                                    Seperti biasa si pembantu rumah akan membekalkan 2 keping roti sandwic yang dipotong 2 dan disapu di atasnya dengan butter untuk anak majikannya itu, memandangkan hanya itu sahaja yang ada dalam simpanan. Tanpa membantah atau banyak kerenah, walaupun dengan muka sedikit 'tawar' sianak menyambut roti yang dibungkus dengan kertas surat khabar oleh pembantu rumah dan memasukkannya ke dalam beg sekolah. Tanpa disedari oleh ibubapanya, bekalan yang sama dibawa si anak ke sekolah selama berbulan-bulan lamanya.

                                    Suatu hari dengan kehendak Allah, maka tergeraklah hati si pembantu rumah untuk memeriksa beg sekolah anak majikannya itu, walaupun dia pada mulanya tidak diizinkan untuk berbuat begitu namun setelah didesak, si anak merelakan begnya diperiksa. Sebaik sahaja beg dibuka, keluarlah bau-bauan yang kurang menyenangkan. Maka setelah diteliti oleh pembantu rumah, rupanya beg sekolah anak majikannya itu dipenuhi dengan bungkusan-bungkusan roti yang telah ber'cendawan' di celah-celah buku. Si anak yang dari tadi gelisah memerhati apa yang dibuat oleh pembantu rumahnya, akhirnya menangis dan merayu agar ibubapanya tidak diberitahu tentang hal roti tersebut. Takut mungkin.

                                    Oleh kerana tidak mahu perkara yang sama berulang, si pembantu menceritakan juga kisah 'roti yang berkulat' sambil menunjukkan bukti-bukti yang masih lagi disimpan dan ditunjukkan kepada majikannya itu. Barulah si ibu dan si bapa sedar betapa sibuknya mereka selama ini, sehinggakan selera anak sendiri pun tidak pernah diambil peduli. 

                                    * Pengajaran buat kita semua, sesibuk mana sekalipun, keperluan anak-anak harus diutamakan. 

Please CLICK HERE to see more stories.
                                      
                                  ~ Thank You ~                                   

No comments:

Post a Comment

DISCLAIMER
Ini adalah blog peribadi. Segala maklumat di dalam blog ini hanyalah untuk simpanan penulis sebagai rujukan di masa akan datang samada yang dipetik dari media mahupun dari hasil daya fikir penulis sendiri. Sila rujuk sumber yang lebih sahih sekiranya terdapat maklumat atau fakta yang mungkin mengelirukan kerana pihak kami tidak akan bertanggungjawab di atas apa-apa kerugian dari penggunaan sebarang info atau maklumat dari blog ini.

Terima kasih.
Sila lawati kami lagi.

Penulis blog: SURI SUTERA

Powered By Blogger
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...