Monday, March 18, 2013

* SAJAK ~ HANYA RIMBUNAN KASIH


Image result for MEGHALAYA

HANYA RIMBUNAN KASIH


Sekiranya mampu kuberi
sebuah mahligai indah sebagai bukti cinta
akan kubina jauh nun di puncak Himalaya
di bawah redup langit dan gemalai si pawana
untuk kau huni dan bersemayam di dalamnya
selamanya sejahtera diulit bahagia ...

Seandainya aku bisa, hidup lebih lama
persis jambatan pepohon di Meghalaya
yang menyatukan cinta, dua mandala
mencetus rasa takjub dan kasih seisi dunia
sudah pasti berterusan bakti, akan kutabur
berlimpahan kasih, akan kuhulur
agar tersenyum dirimu, dalam tafakur ...

Namun, aku hanya insan biasa
yang cuma punya rasa dan punya cinta
di hati terlukis ribuan kata lara
pun tak mampu kulafaz segala-galanya
lalu, biarku himpun rimbunan dedaun kasihku
izin kutabur kelopak bunga-bunga rindu
di peraduanmu ...

Nah! Pasti turut tersenyum, sekalian bidadari
menguntum mekar, si kembang melati
sepanjang masa tidak berhenti
dan kutahu pasti, engkau pun turut memahami .....

By: *OZIE MAHSA (19th. March 2013)

Sajak ini tercipta atas permintaan seorang sahabat bernama 'S.H' yang sedang menghadapi ujian besar dalam hidupnya. Semoga 'S.H' tabah menghadapi dugaannya dan redha dengan ketentuan Ilahi ....

"Sajak ini telah tersiar dalam majalah Dewan Siswa keluaran Oktober 2014"

* Please CLICK HERE to see more poems.

~ Thank You ~

No comments:

Post a Comment

DISCLAIMER
Ini adalah blog peribadi. Segala maklumat di dalam blog ini hanyalah untuk simpanan penulis sebagai rujukan di masa akan datang samada yang dipetik dari media mahupun dari hasil daya fikir penulis sendiri. Sila rujuk sumber yang lebih sahih sekiranya terdapat maklumat atau fakta yang mungkin mengelirukan kerana pihak kami tidak akan bertanggungjawab di atas apa-apa kerugian dari penggunaan sebarang info atau maklumat dari blog ini.

Terima kasih.
Sila lawati kami lagi.

Penulis blog: SURI SUTERA

Powered By Blogger
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...