Tuesday, June 18, 2013

* KEBIJAKSANAAN SUAMI MENJAGA HATI ISTERI


GAMBAR HIASAN

Kebijaksanaan Suami Menjaga Hati Isteri

Pada suatu hari seorang lelaki datang ke rumah Umar bin Khattab r.a. hendak mengadu keburukan isterinya. Namun setiba di samping rumahnya, ia mendengar isteri Umar bin Khattab mengeluarkan kata-kata yang keras dan kasar kepada suaminya, sementara Umar tidak menjawab sepatah kata pun. Akhirnya orang itu berfikir, sebaiknya ia membatalkan saja niatnya.

Ketika orang itu hendak berbalik pulang, Umar baru saja keluar dari pintu rumahnya. Umar segera berteriak memanggil orang itu. Umar langsung berkata kepadanya, "Engkau datang kepadaku tentu hendak membawa satu berita penting!"

Orang itu lalu berkata terus terang, "Ya sahabat Umar bin Khattab, aku datang kepadamu hendak mengadu keburukkan isteriku terhadapku. Akan tetapi setelah aku mendengar kelancangan isterimu tadi terhadapmu, dan sikap diammu terhadap perbuatannya, aku jadi mengurungkan niatku untuk melaporkan hal itu."

Mendengar perkataan yang jujur itu, Umar tersenyum kecil seraya berkata, "Wahai saudaraku, isteriku telah memasakkan makanan untukku. Dia juga telah mencuci pakaianku, mengurus urusan rumahku, dan mengasuh anak-anakku sehingga tiada hentinya. Maka apabila ia berbuat satu dua kesalahan, tidaklah layak kita mengenangnya, sedang kebaikan-kebaikannya kita lupakan. Ketahuilah, wahai saudaraku, antara kami dan dia hanya ada dua hari. Kalau kami tidak meninggalkannya dan terbebas dari perangainya, maka dia akan meninggalkan kami dan terbebas dari perangai kami pula."

Setelah mendengar penuturan yang amat bijak dan penuh hikmah itu, orang itu pergi meninggalkan Umar bin Khattab dengan hati gembira dan puas.

Pengajaran Dari Cerita Di atas

Setiap lelaki di bekali dengan sikap kesabaran dan kematangan dalam menghadapi setiap situasi yang sukar. Lelaki lebih berjaya dalam membuat keputusan-keputusan untuk keluar dari masalah yang dihadapi. Lelaki yang bijak adalah lelaki yang faham akan situasi isterinya dan tahu cara mengurus isterinya. Sebab itulah lelaki merupakan ketua keluarga. Suami perlu bersikap sabar apabila dimarahi dan dileter oleh isterinya, kerana suami yang sabar akan tingkah laku isterinya yang suka bercakap atau beleter, akan dihapuskan segala dosa-dosa masa lalunya. Hal ini berlaku kepada Nabi Allah Ilyas yang berdoa supaya dianugerahkan kepadanya isteri yang kuat beleter, kerana ia mengetahui inilah cara beliau menghapuskan dosa dan cara mudah untuk masuk ke dalam syurga Allah.

Setiap suami kena bijak menghadapi isterinya, kadang-kadang isteri buat perangai atau marah tak tentu pasal mesti ada sebabnya, ada pepatah mengatakan bahawa wanita ini makhluk emosi dan angin tak tentu pasal. Jadi suami kena bijak menghadapinya, tindakan yang lebih baik adalah diam apabila mendengar isteri berleter atau sedang marah-marah, kerana isteri ini akan diam dan terasa perbuatannya itu salah dan dia akan segera memohon maaf kepada suaminya, waktu itulah kita kaunselingkan dia dengan nasihat-nasihat yang lembut dan kata-kata hati ke hati. Selalunya isteri lebih terbuka ketika mana ia minta maaf kepada suaminya atas perbuatannya.

Sering-seringlah menghargai diri isteri kita yang telah banyak mengorbankan masa dan tenaganya untuk suaminya, seperti memasak, membasuh pakaian, menjaga anak, mengemas rumah, mengurus rumah dan sebagainya. Cara penghargaannya ialah setiap kali gaji, bawa isteri pergi makan di mana-mana restoran yang berkongsepkan romantik, kalau cara ini tidak mampu, maka keluarkan kata-kata penghargaan kepada isteri disebabkan tugas-tugas yang telah dilaksanakan. Selalunya suami payah untuk mengeluarkan kata-kata pujian dan penghargaan, kerana suami bersifat ego atau menganggap kata-kata tersebut sebagai buang masa. Hadiahkan isteri apa-apa barang yang berpatutan pada setiap saat-saat hari bahagianya seperti hari lahirnya, ulang tahun perkahwinan dan sebagainya.

Sebenarnya dari sudut psikologi isteri akan rasa lebih dihargai dan lebih disayangi ketika mana suami tahu menghargai dirinya. Malah setiap perkara yang kita suruh mesti akan dibuat oleh isteri kita dengan hati yang penuh taat dan tidak membantah.

Ada pepatah yang mengatakan bahawa wanita ini diibaratkan seperti kulit bawang yang sangat halus, kalau nak menanggalkan kulit bawang tersebut perlu berhati-hati dan lembut kerana kulitnya mudah terkoyak. Kesimpulan dari falsafah ini, wanita itu sangat lembut dan mudah terasa dan berfikiran sensitif setiap kali ia diabaikan.

Waktu yang paling bahaya ialah waktu ia dalam keadaan haid atau tidak suci, selalunya wanita ini seringkali berkeadaan tidak menentu emosinya, kadang-kadang tak pasal-pasal dimarahi oleh isteri. Jadi waktu sebegini suami kena faham dan kena bersikap berdiamkan diri, berdiamkan diri ini adalah lebih baik, atau keluar dari rumah pergi mengeteh dan sebagainya. Waktu seperti ini kebiasaan wanita ia akan reda sendiri kemarahannya, dan dia sendiri tidak sedar akan kelakuannya.

Bagi suami janganlah terlalu garang dengan isteri dan terlalu kasar atau keras suara dengan isteri. Perbuatan ini akan menyebabkan isteri merasa dirinya tidak dihargai dan tidak berguna untuk suami dan paling bahaya apabila isteri mengatakan suaminya hanya baik ketika ingin bersama dengannya sahaja. Semua perbuatan ini akan menyebabkan kerenganggan dan keberontokan rumahtangga. Isteri takut menegur suami kerana takut dimarahi, suami pula anggap isteri tidak memberikan layanan yang sepatutnya. Kalau masakan isteri tawar atau terlebih garam, jangan terus melenting dan memarahi isteri. Gunakan cara yang hikmah untuk menegur isteri. Pernah ketika isteri Rasulullah menghidangkan kepadanya air yang tawar tanpa gula disebabkan isterinya terlupa masukkan gula dalam minuman Rasulullah. Apabila Baginda minum minuman tersebut sehingga berkedut kening Baginda, isterinya perasan disebabkan ternampak kening Rasulullah. Lantas isterinya bertanya, bagaimana rasa air tersebut, Baginda mengatakan ok sahaja, dan isterinya merasa sedikit air yang dibancuhnya dan tersenyum kerana airnya sangat tawar. Baginda tidak berkata apa-apa dan mendiamkan diri sahaja.

Setiap kali ada pertelingkahan, pergaduhan dan selisih faham, lebih baik suami yang dahulu memohon maaf atas kejadian tersebut dan menceritakan perkara yang sebenarnya tercetus pergaduhan tersebut. Kalau boleh cuba fahamkan isteri tentang situasi yang dihadapi oleh suami. Contoh situasi tersebut seperti dimarahi bos, banyak kerja yang belum siap, kesesakkan lalu lintas, bebanan hutang dan sebagainya. Kalau boleh peluk manja kepada isteri ada setiap sesi penjelasan dan memohon maaf, ini membantu untuk menurunkan kemarahan isteri dan membantu untuk memberikan kefahaman kepada isteri atas sebab-sebab berlakunya pertengkaran.

Yang penting di sini, setiap perkara yang dihadapi oleh suami, jadikanlah isteri itu sebagai teman bercerita dan meluahkan segala kepayahan yang dialami. Situasi seperti ini akan memberikan motivasi dan dorongan kepada suami untuk keluar dari masalah tersebut dengan disokong oleh isteri.

Jangan sesekali ada konsep seperti “isteri perlu diajar dengan secukupnya, pukul isteri, pulau isteri”. Ini semua akan mendatangkan masalah lagi dalam rumahtangga, ingatlah kepada anak-anak ketika timbul masalah rumahtangga, ia juga dapat menenangkan diri kita dan sekaligus menurunkan kemarahan kita. Islam sangat melarang suami memukul isteri dan menengking isteri, kecuali nasihat suami atas perkara-perkara yang wajib tidak dilakukan oleh isteri barulah boleh dimarahi dan seterusnya dipukul isteri tanpa mencederakan isteri. Sebab pukulan itu adalah untuk mengajar isteri bahawa perbuatannya itu adalah salah.

Penutup

Jadikan isteri sebagai teman yang paling rapat dan disayangi. Jadikanlah isteri kita sebagai tempat penyejuk hati dan penunjuk jalan jika kita menghadapi kesukaran. Suami juga perlu bijak mengurus rumahtangganya, kerana suami yang bijak dapat mengurus rumahtangganya dengan baik. Suami yang bijak juga adalah suami yang mempunyai akhlak yang baik dan tidak melakukan perkara yang diharamkan oleh Allah dan sentiasa melakukan perkara yang disuruh oleh Allah. Keluarga yang baik adalah keluarga mawardah warahmat dan menganggap rumahnya seperti rumahku syurgaku.

Sekian.

Sumber: Dari blog, Ustaz Nor Amin

* Please CLICK HERE to see more.

~ Thank You ~

No comments:

Post a Comment

DISCLAIMER
Ini adalah blog peribadi. Segala maklumat di dalam blog ini hanyalah untuk simpanan penulis sebagai rujukan di masa akan datang samada yang dipetik dari media mahupun dari hasil daya fikir penulis sendiri. Sila rujuk sumber yang lebih sahih sekiranya terdapat maklumat atau fakta yang mungkin mengelirukan.

Terima kasih.
Sila datang lagi.

Penulis blog: Ozie Mahsa

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...