KERANA SEHELAI BULU MATA
Diceritakan di hari pembalasan kelak, ada seorang hamba Allah sedang diadili.
Dia dituduh bersalah kerana mensia-siakan hidupnya di dunia untuk berbuat maksiat. Namun begitu dia berkeras membantah, "Tidak demi langit dan bumi, sungguh tidak benar. Saya tak pernah melakukan perkara itu."
"Tetapi saksi-saksi mengatakan engkau betul-betul telah menjerumuskan dirimu sendiri ke dalam dosa." Orang itu menoleh ke kiri dan ke kanan, lalu merenung segenap penjuru ruang yang ada.
Kemudian dia pun menyanggah, "Mana saksi-saksi yang engkau maksudkan? Di sini tiada sesiapa melainkan aku dan suaramu sahaja."
Jawab malaikat, "Inilah saksi-saksimu..."
Tiba-tiba mata berbicara, "Saya yang memandang."
Disusuli dengan telinga, "Saya yang mendengar perkara itu."
Hidung pun tidak ketinggalan, "Saya yang mencium."
Bibir pun mengaku dengan selambanya, "Saya yang merayu."
Lidah menambah dengan berani, "Saya yang menjilat dan menghisap."
Tangan tanpa malu meneruskan, "Saya yang meraba dan meramas."
Kaki pula menyusul, "Saya yg berjalan dan berlari semasa itu."
"Nah kalau dibiarkan kesemua anggota tubuhmu akan memberikan kesaksian tentang perbuatan aibmu." ujar malaikat.
Orang tersebut tidak dapat membuka sanggahnya lagi. Ia berputus asa dan amat berduka kerana sebentar lagi ia akan dihumban ke dalam neraka jahannam. Padahal ia amat berharap agar segala perbuatan jahatnya dapat diselindungi. Tatkala dia sedang dilanda kesedihan, tiba-tiba terdengar satu suara yang amat lembut dari sehelai bulu mata berbunyi, "Saya pun ingin mengangkat sumpah untuk menjadi saksi dalam perkara ini." Malaikat menjawab dengan tenang, "Silakan wahai bulu mata."
"Terus terang sahaja, menjelang ajalnya pada satu malam yang hening, aku pernah dibasahi dengan juraian air mata penyesalan mengenangkan segala perbuatan keji yang telah dilakukan. Bukankah rasulnya telah berjanji, apabila ada seorang hamba yang ingin bertaubat, walaupun sehelai bulu mata sahaja yang dibasahi dengan air mata, demikian itu diharamkan dirinya dari ancaman api neraka? Maka, saya sehelai bulu mata, berani tampil sebagai saksi bahawa dia telah bertaubat sampai membasahi saya dengan air mata
penyesalan." Dengan kesaksian bulu mata itu, orang tersebut dibebaskan dari neraka dan segera dihantar ke syurga.
"Lihatlah hamba Allah ini masuk syurga kerana pertolongan bulu mata." Masya ALLAH.
Sekian.
Source: E-media.
* Please CLICK HERE to see more.
~ Thank You ~
No comments:
Post a Comment
DISCLAIMER
Ini adalah blog peribadi. Segala maklumat di dalam blog ini hanyalah untuk simpanan penulis sebagai rujukan di masa akan datang samada yang dipetik dari media mahupun dari hasil daya fikir penulis sendiri. Sila rujuk sumber yang lebih sahih sekiranya terdapat maklumat atau fakta yang mungkin mengelirukan kerana pihak kami tidak akan bertanggungjawab di atas apa-apa kerugian dari penggunaan sebarang info atau maklumat dari blog ini.
Terima kasih.
Sila lawati kami lagi.
Penulis blog: SURI SUTERA