Wednesday, August 20, 2014

* CERITERA ALAM ~ CUCU DAN ATOK?




Pengalaman hampir seminggu berada di wad hospital banyak mengajar saya erti kehidupan dan kemanusiaan. Kisah dua insan ini, antara yang sempat mengusik hati saya. Sambil duduk di sisi katil menemani suami yang sedang sakit, saya asyik memerhati keadaan di sekeliling wad. Kebetulan katil yang didiami suami saya betul-betul berada berhadapan dengan sebuah bilik khas untuk pesakit yang memerlukan rawatan lanjutan yang dindingnya diperbuat daripada kaca lutsinar. Di salah satu katil di bilik tersebut, duduk seorang tua yang berusia lingkungan 80an yang layak saya panggil pakcik. Dari pemerhatian saya selama berada di wad hospital itu, pakcik tersebut jarang sekali ada yang menemaninya.

Tiba saat makan tengahari seperti biasa semua pesakit akan dihidangkan dengan makanan masing-masing. Mungkin kerana perut pun sudah berasa sangat lapar maka pakcik tersebut segera cuba mencapai makanannya yang berada di atas troli bermeja yang biasa terdapat di katil pesakit-pesakit. Dek kerana tak sampai tangan untuk mencapai hidangan, dia memandang-mandang sekelilingnya bagi mencari seseorang yang dapat membantunya memandangkan tiada seorang jururawat pun yang ada di dalam bilik itu, ketika itu.

Oleh kerana pakcik tersebut berada di dalam bilik yang berkaca maka mudah baginya untuk mendapat perhatian. Kelihatan dia melambai-lambaikan tangannya kepada seorang kanak-kanak lelaki yang berusia lebih kurang 8 tahun, yang kebetulan berada betul-betul di sisi dinding kaca bilik tersebut. Perasan dengan lambaian 'atok' itu maka budak itu segera datang mendapatkan 'atok'nya. Pakcik tua itu mengarahkan budak lelaki tu agar menolak meja hampir dengannya. Budak lelaki itu melakukan apa yang diarahkan oleh pakcik yang kelihatannya kurang berdaya, tanpa keberatan.

Setelah melakukan apa yang disuruh, budak itu kembali berlari keluar untuk bermain di luar bilik. Saya yang dari tadi asyik memerhati pakcik itu menyuapkan makanan satu demi satu menggunakan sudu, perasan yang tiada minuman di atas troli meja pakcik tu. Kali ini saya pula yang bertindak melambai budak itu bagi meminta bantuan agar dia mengambilkan minuman untuk pakcik tersebut. Budak itu dengan rasa bangga dan bersungguh-sungguh pergi dengan pantas lalu menuangkan air kepada 'atok'nya. Bukan setakat itu, diambilnya sehelai tisu lalu disapunya mulut 'atok'nya yang kelihatan comot mungkin sebaik saja 'atok'nya selesai makan.

Terharu sungguh saya memerhatikan situasi tersebut. Bukan hanya sebab dia begitu bersungguh-sungguh melakukan apa yang sepatutnya tetapi saya terharu kerana 'atok' yang 'dijaga'nya itu bukanlah 'atok' sebenarnya tetapi orang tua yang tidak langsung dikenalinya. Tidak dapat nak saya gambarkan perasaan saya ketika itu. Hanya airmata yang mampu saya titiskan kerana sangat terharu. Saya kemudiannya memanggil budak lelaki tersebut dengan melambainya sekali lagi bagi memberikan ucapan terima kasih kepadanya kerana melakukan bagi pihak saya yang tak dapat bertindak membantu pakcik tua tersebut memandangkan saya sendiri terlalu letih dan hampir tidak berdaya kerana tidak berselera untuk makan dan kekurangan tidur. Budak itu tersenyum cuma lalu pergi ke sisi katil atok sebenarnya yang juga berada di wad yang sama.

Begitulah indahnya budi dan rasa kasih sayang. Orang yang tinggi budinya dan dalam rasa kasih sayangnya, akan lebih bersungguh-sungguh dalam memberikan bantuan dan perhatian biar pun tiada sebarang pertalian persaudaraan.

SALAM SILATURRAHIM!
~ Thank You ~

2 comments:

  1. Allahu.. Sebak baca kak.. Klau semua anak-anak di asuh prihatin mcm ni.. Mmg best kan..

    ReplyDelete
  2. tersentuh hati membacanya kak zie...

    ReplyDelete

DISCLAIMER
Ini adalah blog peribadi. Segala maklumat di dalam blog ini hanyalah untuk simpanan penulis sebagai rujukan di masa akan datang samada yang dipetik dari media mahupun dari hasil daya fikir penulis sendiri. Sila rujuk sumber yang lebih sahih sekiranya terdapat maklumat atau fakta yang mungkin mengelirukan.

Terima kasih.
Sila datang lagi.

Penulis blog: Ozie Mahsa

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...