Wednesday, January 18, 2012

* KISAH IKHTIBAR ~ CINTA MENGATASI SEGALANYA

Love, never knew the age .....
~ Ozie

          dd45045f8c68db9f54e70c67048d32e8.gif         
                                              
CINTA MENGATASI SEGALANYA

                                                      Tiada siapa pun menyangka bahawa Zainab (bukan nama sebenar), wanita yang berusia lewat 50an ini akan mendirikan rumahtangga buat kali kedua setelah kehilangan suaminya beberapa tahun yang lalu. Apatah lagi, orang yang dikahwininya kali ini berusia 20 tahun lebih muda dari usianya dan sememangnya suaminya itu layak dipanggilnya anak. Namun, cinta tidak pernah mengenal masa mahupun usia. Bila jodoh telah ditentukan, tiada siapa pun yang mampu menolak takdir apatah lagi untuk mempersoalkannya.
                                                                                                                    Biarpun rancangannya untuk bernikah dengan Alif suaminya itu, kurang mendapat persetujuan dari keluarga di pihak Alif pada awalnya, namun keputusan mereka untuk berumahtangga tetap juga diteruskan walaupun dia terpaksa pekakkan telinga dengan desas desus orang sekeliling yang mengatakan bahawa Alif menerimanya bukan atas dasar cinta tetapi adalah kerana rasa terhutang budi kepada Zainab yang telah menjaga dan merawatnya. Apapun ceritanya, hanya mereka yang tahu akan misteri dan kisah sebenar disebalik perkahwinan mereka itu. Kini mereka telah pun sah bergelar suami isteri dan tinggal dengan selesa di rumah milik Zainab sendiri.
                                                                                                                      Bercerita mengenai Alif suami baru Zainab, ketika diusia remajanya, walaupun seorang yang agak pendiam namun mempunyai pergaulan yang agak bebas dan sering menjadi tumpuan rakan-rakan sebaya mungkin kerana berperwatakannya yang agak menarik dan mudah digauli. Namun, kebebasan akhirnya menjerumuskan Alif ke dunia penagihan dadah sejak usianya di awal 20an lagi. Keadaan ini menyebabkan Alif sering keluar masuk pusat pemulihan sehinggalah dia ditakdirkan bertemu dengan Zainab. Walaupun pada awal perkenalan lagi Zainab telah mengetahui akan keadaan diri Alif, tetapi dia tetap meneruskan perhubungannya dengan Alif kerana merasa bertanggungjawab untuk menasihati dan melindungi Alif yang mana akhirnya telah membibitkan rasa cinta yang membawa mereka ke alam rumahtangga. Biarpun dia tahu akan risiko yang bakal ditanggungnya, namun dia telah bersedia untuk mengharungi segalanya termasuklah tohmahan dari masyarakat disekelilingnya.
                                                                                                                  
Di tahun awal perkahwinan, walaupun kehidupan rumahtangga mereka kelihatan bahagia di mata orang lain namun perasaan sebenar yang dirasai oleh Zainab tiada siapa pun yang tahu. Pun begitu Zainab terpaksa akur dengan pilihan hatinya walaupun dia sedar, dengan menerima Alif dalam hidupnya dia seolah-olah telah menjerut lehernya sendiri. Namun demi kasih dan cintanya pada Alif, dia sanggup menghadapi apa saja. Kehadiran Alif dalam hidupnya walaupun membebankannya kerana terpaksa menanggung segala perbelanjaan keluarga, tapi dia tetap tersenyum bahagia. Bukan itu saja, beban semakin bertambah apabila Alif sering tidak pulang ke rumah kerana terpaksa keluar masuk pusat pemulihan setiap kali berjaya diberkas oleh pihak berkuasa. Walaupun sudah beribu kali dia menasihati suaminya, namun Alif seakan tidak pernah merasa serik walau sedikitpun.
                                                                                                                     Masa terus berlalu namun Alif suaminya masih tetap juga begitu. Sedaya mungkin Zainab cuba merubah sikap suami muda kesayangannya agar kembali kepangkal jalan. Berbagai cara dan usaha dilakukannya supaya Alif segera berhenti menagih. Kadang-kadang dia terpaksa mengurung Alif di rumah kerana tidak mahu Alif keluar bergaul semula dengan bekas-bekas rakan penagih setelah Alif pulang dari pusat pemulihan.
                                                                                                                      Begitulah kisahnya sebuah perkahwinan yang terpaksa dilalui oleh seorang wanita yang berani menghadapi apa saja demi perasaan cinta yang masih ujud biarpun dilewat usia. Takdir telah menemukannya dengan cinta sejatinya namun dalam masa yang sama kekuatan cintanya itu diuji pula dengan sikap dan kerenah suami yang berbagai. Sesungguhnya manusia tidak boleh lari dari memiliki perasaan cinta sekalipun telah berusia dan tidak pula dapat lepas dari ujian dan dugaan hidup yang telah ditentukan oleh Tuhan. Semoga kisah ini bukan sahaja memberi kita sedikit pengajaran tetapi juga menjadikan kita lebih tabah untuk menghadapi dugaan hidup yang seterusnya.

Olahan Cerita: * Ozie


* Please CLICK HERE to see more stories.

~ Thank You ~

No comments:

Post a Comment

DISCLAIMER
Ini adalah blog peribadi. Segala maklumat di dalam blog ini hanyalah untuk simpanan penulis sebagai rujukan di masa akan datang samada yang dipetik dari media mahupun dari hasil daya fikir penulis sendiri. Sila rujuk sumber yang lebih sahih sekiranya terdapat maklumat atau fakta yang mungkin mengelirukan kerana pihak kami tidak akan bertanggungjawab di atas apa-apa kerugian dari penggunaan sebarang info atau maklumat dari blog ini.

Terima kasih.
Sila lawati kami lagi.

Penulis blog: SURI SUTERA

Powered By Blogger
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...