Constantly remind ourselves to be grateful with all the blessings .....
~ Ozie
* BILA TERANG MENJADI GELAP
Maria (bukan nama sebenar), walaupun seorang wanita yang lemah lembut tetapi dia sangat peramah serta tidak pernah lokek untuk melemparkan senyuman kepada sesiapa saja yang memandangnya. Tidak hairanlah kalau dia senang didampingi oleh rakan-rakannya. Ditambah lagi dengan personalitinya yang agak menarik dan pandai pula bergaya. Mungkin kerana ciri-ciri kewanitaan dan keibuan yang begitu menyerlah dalam dirinya, maka di usia awal 20an lagi Maria telah dilamar oleh kekasihnya walaupun hanya selepas beberapa bulan mereka berkenalan. Tanpa menunggu lama, mereka akhirnya melangsungkan perkahwinan dalam suasana yang sungguh sederhana. Hasil dari perkahwinan mereka itu, dia telah dikurniakan 2 orang putera dan seorang puteri. Walaupun salah seorang dari puteranya, kurang upaya sejak dari bayi lagi, namun Maria tidak pernah menyesali akan nasibnya apatah lagi merasa rendah diri dengan kekurangan yang ditakdirkan untuknya. Malah, Maria merasa beruntung kerana mempunyai suami yang bertanggungjawab, memahami dan sangat menyayanginya. Dia tetap bersyukur dan menjalani kehidupan seperti biasa dan hidup bahagia walaupun tidak mewah seperti orang lain .
Pun demikian, setiap yang hidup di dunia ini pasti akan sentiasa diuji dan terus diuji. Kebahagian yang kita miliki tidak akan kekal abadi. Takdir yang Maha Berkuasa tidak siapa pun dapat menduga. Kebahagiaan bisa hilang dalam sekelip mata jika Allah menghendakinya. Inilah takdir yang telah ditentukan oleh Allah untuk Maria. Maria langsung tidak pernah terfikir dan menyangka, dunia yang selama ini terang benderang disinari cahaya tiba-tiba menjadi gelap gelita tanpa sebab yang nyata. Maria yang sedar dari tidur diawal pagi, menggigil ketakutan apabila mata yang dibuka tidak mampu lagi melihat apa-apa. Dengan penuh kehairanan dia terus menangis dan menjerit sambil meraba-raba tubuh suami yang berada di sisinya. Keheningan pagi terus diisi dengan tangisan yang sungguh memilukan. Suami Maria yang juga kehairanan, tidak putus-putus memujuknya supaya Maria bertenang dan bersabar. Anak-anak turut bangun dan menghampiri Maria yang masih dalam kebingungan. Tidak dapat dibayangkan bagaimana perasaan Maria ketika itu. Setelah beberapa jam kemudian, walaupun tangisan Maria kian reda namun hari-hari yang selama ini penuh dengan keceriaan, kini bertukar menjadi hari yang paling suram buat Maria dan keluarganya.
Biarpun payah, lama kelamaan Maria sedar, segala penderitaan tidak seharusnya diratapi selamanya kerana masih banyak ruang-ruang kehidupan yang perlu diisi dan perlu dilalui. Akhirnya Maria pasrah dan redha dengan ketentuan Allah. Biar sesukar mana perjalanan hidup yang bakal ditempuhi, dia bingkas bangun dan meneruskan sisa-sisa hidup dengan penuh keikhlasan. Mujurlah suami dan anak-anaknya tidak putus-putus memberikan harapan dan sokongan semangat untuk dia terus hidup. Maria tetap bersyukur dengan apa yang telah ditakdirkan. Walaupun pandangannya gelap namun hatinya terang disuluh limpahan kasih sayang suami dan anak-anaknya. Kehidupan baru tanpa cahaya dilalui dengan hati yang tabah. Biarpun dia tidak mampu melihat lagi, namun kerja-kerja rumah seperti mengemas dan memasak tetap dilakukan Maria dengan bantuan suami dan anak-anak yang semakin dewasa. Begitulah kehidupan Maria sehinggalah satu-satunya puteri yang dimiliki berumahtangga dengan jejaka pilihannya.
Namun, masalah yang menimpa Maria tidak berakhir di situ saja. Sekali lagi Maria diuji. Suami yang sangat setia dan amat disayanginya pula pergi meninggalkannya buat selama-lamanya. Kini, penderitaan yang ditanggung Maria bertambah lagi. Maria sudah kehilangan tempat untuk bergantung. Bersama kesedihan yang dilalui seribu persoalan pula menghantui hati. Siapakah yang akan menyediakan keperluan keluarganya nanti? Kepada siapa lagi dia hendak bergantung harap? Kepada siapa pula dia hendak menumpang kasih? Tinggallah Maria dan anak-anak yang semakin dewasa dan bakal mempunyai kehidupan mereka sendiri. Bertambah sedih lagi hati Maria bila satu-satunya anak perempuannya pula pergi mengikut suami yang bekerja di luar daerah. Semakin gelap dunia ini Maria rasakan. Namun, hati yang remuk tetap jua dipujuk. Tidak henti-henti Maria berdoa supaya Allah memelihara hatinya agar tidak sesat dikala derita dan lara memakan jiwa. Satu-satunya harapan yang tinggal, anak-anak lelakinyalah tempat dia menumpang kasih.
Begitulah kisah Maria seorang wanita yang tabah mengharungi liku-liku hidupnya biarpun dugaan demi dugaan terpaksa dilaluinya. Namun dia tidak pernah menagih dan mengharap simpati dari sesiapapun. Hanya Allah tempat dia memohon segala kekuatan dan meminta pertolongan. Semoga kisah ini menjadi tauladan buat kita semua. Tanyalah juga diri kita, apakah kita sekuat dan setabah Maria? Mampukah kita lalui apa yang dilalui oleh Maria? Hmm... Apapun, marilah kita segera bersyukur dengan segala nikmat dan pemberian Nya. Hargailah segala yang kita miliki dan gunakan segala peluang dan kesempatan buat mempersiapkan diri untuk menempuh segala kemungkinan yang bakal mendatang. Wallahualam...
Olahan Cerita: * Ozie
~ Thank You ~
No comments:
Post a Comment
DISCLAIMER
Ini adalah blog peribadi. Segala maklumat di dalam blog ini hanyalah untuk simpanan penulis sebagai rujukan di masa akan datang samada yang dipetik dari media mahupun dari hasil daya fikir penulis sendiri. Sila rujuk sumber yang lebih sahih sekiranya terdapat maklumat atau fakta yang mungkin mengelirukan kerana pihak kami tidak akan bertanggungjawab di atas apa-apa kerugian dari penggunaan sebarang info atau maklumat dari blog ini.
Terima kasih.
Sila lawati kami lagi.
Penulis blog: SURI SUTERA