Cerita ini diilhamkan dari sebuah kisah benar yang telah diolah semula untuk hasil yang lebih dramatik, buat renungan kita semua yang bergelar ibu dan bapa ....
~ Ozie
Gambar Hiasan |
HATI SEORANG GADIS KECIL
.
Tidak lama kemudian kedengaran suara kedua ibu dan ayahnya bertengkar dari dalam bilik tidur mereka. Si gadis kecil yang berada di luar cuma memasang telinga dengan sedikit rasa keliru dan hati yang tertanya-tanya, mengapa situasi seperti itu sering berlaku. Dia terus mendengar, ada kata-kata yang pedih dan menyakitkan malah ada yang tidak begitu difahaminya. Mungkin dia masih terlalu kecil untuk mengerti. Tiba-tiba, tanpa disedari.... "Buang yang keruh... ambil yang jernih, baru teguh... peribadi," spontan terpancut keluar dari mulutnya sebaris lirik dari lagu Allahyarham P.Ramlee yang bertajuk 'Sedangkan Lidah Lagi Tergigit'. Si ibu dan si bapa masih lagi bertengkar tanpa menghiraukan anak gadis mereka yang sedang cuba menenangkan mereka dengan 'lagu'nya. "Apa guna kita bertengkar... suami isteri harus bersabar." Si gadis kecil terus menyanyi, kali ini dengan lebih kuat buat menarik lagi perhatian ibu dan ayahnya. Si ibu dan si ayah terdiam seketika. Berhasil mungkin apa yang si gadis kecil cuba lakukan.
Setelah keadaan menjadi reda, dia berlari keluar dan menuju ke rumah seorang sahabat yang juga jirannya. Hati naluri seorang anak kecil, pastinya dia berasa bosan berada di rumah dengan suasana yang kurang disenanginya. Di luar mungkin ada sesuatu yang mampu membuat dia rasa tenang dan gembira. Ketika hampir tiba ke tempat yang dituju, kedengaran riuh rendah suara gelak tawa yang membuatkan dia lupa akan situasi tegang ibu dan ayahnya sebentar tadi. Sebaik sahaja tiba, perlahan dia duduk di muka pintu rumah sahabatnya yang sedia terbuka dan cuba memerhati apa sebenarnya yang didengarnya tadi. Dilihatnya sahabatnya sedang bergurau senda dan bertepuk tampar manja serta berjenaka dengan bapanya di ruang tamu rumah mereka. Si gadis kecil secara senyap mengamati sambil hatinya berkata-kata, "Ayah tidak pernah melayan aku begitu." Walaupun apa yang dilihatnya itu sungguh mengasyikkan, tetapi wajahnya kelihatan sugul dan dia kemudiannya bangun dan berlalu pergi untuk pulang dengan langkah yang lemah.
Sebelum sampai ke rumah yang tidak sampai 50 ela jaraknya dari rumah sahabatnya itu, dia berhenti di suatu tempat yang tidak ada sesiapa pun lalu di situ lantas duduk di pinggir sebuah bukit kecil seorang diri. Jauh dibiarkan fikirannya melayang, merentasi angan dan impian yang sengaja dibina buat melayan hatinya yang terasa sayu dan hiba. Tanpa disedarinya, hari hampir lewat senja. Segera dia berlari pulang ke rumah, kerana takut dimarahi ayahnya nanti. Sampai di muka pintu, ayahnya sudah sedia menanti di ruang tamu. "Mana engkau pergi, sekarang baru balik?? Ayahnya menyergah dengan menjegilkan matanya yang merah. "Tak pergi manapun, kat rumah jiran je." jawab si gadis kecil yang sedikit ketakutan sambil menyandarkan dirinya ke tepi dinding rumah yang di bina dari papan. "Gedegang!!!" Tiba-tiba kedengaran satu bunyi yang kuat di dinding diikuti bunyi dentingan sesuatu di atas lantai. Si gadis kecil pucat dan ketakutan dan terkejut yang teramat namun matanya sempat melihat apa yang terjatuh berhampiran dengan kakinya. Masyaallah!! Sebuah penukul besi di atas lantai yang nyaris saja tadi singgah ke mukanya. Dilihatnya pula dinding papan di sisi sebelah kanan yang hampir dengan mukanya turut pecah dan berlubang akibat balingan kuat ayahnya sebentar tadi. Si ibu yang turut berada di situ juga terkejut dan tidak menyangka perkara itu akan berlaku namun si ibu sempat menarik nafas lega dan bersyukur kerana sasaran suaminya tidak mengena. Kesemua mereka terdiam dan terpaku seketika. Tiada siapa pun yang berani bersuara lagi.
* Wahai insan-insan yang bergelar ibu dan ayah. Beginikah cara kita melayan anak-anak yang di anugerahkan Allah kepada kita? Wajarkah anak-anak kita dilayan sedemikian rupa? Bayangkanlah andai sasaran tepat mengena muka si gadis kecil itu. Apakah akan terjadi kepadanya? Biarpun terselamat, bayangkan kesan kepada situasi tadi terhadap emosi si gadis kecil itu kemudian nanti. Hmm .... Renungkanlah ....
~ Thank You ~
No comments:
Post a Comment
DISCLAIMER
Ini adalah blog peribadi. Segala maklumat di dalam blog ini hanyalah untuk simpanan penulis sebagai rujukan di masa akan datang samada yang dipetik dari media mahupun dari hasil daya fikir penulis sendiri. Sila rujuk sumber yang lebih sahih sekiranya terdapat maklumat atau fakta yang mungkin mengelirukan kerana pihak kami tidak akan bertanggungjawab di atas apa-apa kerugian dari penggunaan sebarang info atau maklumat dari blog ini.
Terima kasih.
Sila lawati kami lagi.
Penulis blog: SURI SUTERA