I believe that Allah is always with us.
~ Suri Sutera
Sedang kami bercerita tentang berita baik itu, anak sulung saya tiba-tiba bersuara, "Mak malu tak, saya bekerja sebagai promoter je kat butik pakaian sedangkan saya pun ada diploma macam adik." Saya tidak terkejut pun dengan soalan itu kerana, ini bukan kali pertama dia mengajukan soalan yang sama. Dia rasa bersalah mungkin kerana tidak dapat berikan yang terbaik untuk kami ibubapanya, maka soalan yang sama terus diulanginya.
"Kakak, Mak tak pernah dan tak akan rasa malu walaupun anak-anak Mak tak berpelajaran tinggi sekalipun. Yang Mak malu kalau anak-anak Mak pemalas, buruk akhlaknya dan tidak pandai menghormati ibubapa." Ringkas jawapan saya dan sama sahaja seperti jawapan sebelumnya. Seperti biasa dia hanya pandai tersengih dengan jawapan yang dia sendiri sudah mengetahuinya. Mungkin akan ada lagi soalan yang sama selepas ini, selagi dia belum lagi mendapat pekerjaan seperti apa yang diimpikannya.
Anak-anak mungkin tidak faham apa sebenarnya yang ibubapa mereka fikir dan harapkan. Mereka mungkin kuat belajar bukan semata-mata untuk diri mereka sendiri, tetapi juga untuk memuaskan hati ibubapa dan tidak mahu mengecewakan mereka.
Sebagai ibubapa pula, saya pastinya mahukan anak-anak mendapat kehidupan yang jauh lebih sempurna dari apa yang pernah saya miliki sekarang, namun saya tidak pernah mengharap lebih dari apa yang mereka mampu lakukan. Justeru itu, selama mereka belajar saya jarang sekali mendesak mereka untuk belajar bersungguh-sungguh kerana saya yakin dengan apa yang Allah sudah tentukan buat mereka. Hanya, yang menjadi kekuatannya mungkin, saya tidak pernah lupa, tetap dan sering mendoakan dalam diam-diam, kesejahteraan hidup mereka sampai bila-bila.
Pada saya, saya yakin dengan keajaiban Tuhan. Doa seorang ibu itu lebih barakah dari usaha anak-anak itu sendiri. Sekuat manapun usaha mereka, kalau kita sendiri sebagai ibubapa tidak meredhai kehidupan mereka, tidak akan ada keberkatannya.
Desakan dan paksaan yang ditekankan sepanjang proses kehidupan mereka, bukan jaminan untuk anak-anak akan lebih berjaya. Mempertontonkan akhlak mulia dan berlagak sebagai idola terbaik buat anak-anak sekalipun, tanpa doa kita, segalanya mungkin tinggal harapan dan sia-sia. Wallahualam.
Ironi dan moral ceritanya, kalau sayangkan anak-anak dan selagi kita masih bersama mereka di dunia ini, maka ikhlaskanlah hati, himpunkanlah doa untuk mereka sebanyak mungkin. Inshallah. Semoga Allah limpahkan rezeki buat anak-anak kita. Amin.
~ Thank You ~
No comments:
Post a Comment
DISCLAIMER
Ini adalah blog peribadi. Segala maklumat di dalam blog ini hanyalah untuk simpanan penulis sebagai rujukan di masa akan datang samada yang dipetik dari media mahupun dari hasil daya fikir penulis sendiri. Sila rujuk sumber yang lebih sahih sekiranya terdapat maklumat atau fakta yang mungkin mengelirukan kerana pihak kami tidak akan bertanggungjawab di atas apa-apa kerugian dari penggunaan sebarang info atau maklumat dari blog ini.
Terima kasih.
Sila lawati kami lagi.
Penulis blog: SURI SUTERA