All the memories will strengthen the love between us .....
- Ozie
Assalamualaikum buat Kak Normala yang ku ingati selalu. Ku iringi doa, semoga kakak dikurniakan kesihatan yang baik dan beroleh kebahagiaan di dunia mahupun di akhirat. Alhamdulillah, kerana kita masih lagi diberi kesempatan untuk berada di arena persuratan moden ini disamping dapat mengukuhkan lagi hubungan silaturrahim antara kita. Justeru itu, izinkan aku sekali lagi untuk mengimbau sedikit kisah masa lalu kita, agar dapat sama-sama kita jadikan panduan buat kehidupan kita yang seterusnya kerana aku yakin, 20 tahun yang telah kita tinggalkan itu, telah mengajar kita banyak perkara dan meninggalkan kita pengalaman yang sangat berguna.
Sepertimana yang kakak sedia maklum, kebanyakan masa kecil dan remajaku, ku habiskan dengan bertandang ke rumah besar milik kakak. Tujuan dan niat ku bukan semata-mata kerana ingin mengisi masa atau menghilangkan rasa bosan dan sepi ku malah ada niat tertentu maka rumah kakak, menjadi sasaran ku ketika itu. Kakak tahu apakah antara niat dan tujuan ku itu? Hmm.... Kakak tentu ingat lagi kan? Aku begitu berminat menulis dan mengarang sajak dan puisi. Maka itulah, aku ke rumah kakak untuk menggunakan mesen taip jenis lama yang menggunakan dakwat hitam, milik arwah ayah kakak, supaya aku bisa mengabadikan setiap puisi-puisiku dengan lebih tersusun dan teratur di atas kertas-kertas putih yang juga kepunyaan ayah kakak.
Dengan izin dari adik kakak, walaupun ketika itu aku terasa malu, namun demi sesuatu yang ku minati, ku paksa jua hati ini untuk menggunakannya. Dan ketika itu, aku masih ingat lagi, bila kakak mendekati dan menegurku, dan berkata, 'Wah! Along minat mengarang puisi ya!' Aku hanya tersenyum malu sambil menundukkan muka kerana aku sememangnya tahu bahawa bakat ku itu tidaklah seberapa. Bila aku semakin dewasa dan telah pun bekerja, kakak mula perasan yang minatku itu semakin berkurangan dan sekali lagi kakak menegurku, 'Dah hilang minat untuk mengarang puisi?'. Pada ku, teguran kakak itu berbaur sindiran dan seakan mencabar ku. Sekali lagi muka ku merah padam kerana malu. Kakak sememangnya nakal kerana suka mengusik ku.
Kini, setelah lebih 25 tahun bakat kecil ku itu terpendam begitu saja, aku sekali lagi mencuba untuk mengasahnya, seraya membuktikan kepadamu, bahawa minatku itu sebenarnya masih belum pudar mahu pun padam dan mungkin tidak akan ku biarkan terpendam lagi selepas ini. Dan sebagai menyahut cabaran dan sindiran mu itu juga, maka dengan seikhlas rasa, ku ukirkan bait-bait kata buat melahirkan puisi yang tidak sepertinya ini, untuk ku hadiahkan kepada mu.
* PUISI UNTUK MU
Berbekalkan kasih
yang tidak pernah tumpah
yang tidak pernah tumpah
izinkan aku sekali lagi
menjadi misteri
dan sejarah terindah
di lipatan hidupmu...
Bersaksikan masa
yang tidak pernah berdusta
dan hari yang kian berusia
dan hari yang kian berusia
biarkan aku sekali ini
cuba mengisi
ruang yang berbaki
dengan bait-bait kata
yang bisa membuat
engkau bahagia....
Kepada mu
tanpa rasa curiga
mahu pun prasangka
tanpa rasa curiga
mahu pun prasangka
ku himpun segala rasa
dan harapan yang menyala
semoga nanti
impian yang kita bina
akan terlaksana jua.....
By: * Ozie
Dengan itu, sambutlah salam rindu dariku untukmu dan terimalah pemberian yang tidak seberapa ini, untuk kau jadikan kenangan di saat engkau mengingatiku. Semoga kita akan bertemu lagi dilain masa ..... InsyaAllah!
- Thank you -
Very beautiful poem. Thank you for it!
ReplyDeleteThanks Maria...
ReplyDelete