Monday, January 14, 2013

* E-CERPEN ~ LARA HATI LARA 1

                                                

                                           
Entah apa yang membuatkan Lara, gadis manis berambut panjang mencecah bahu dan sedikit keperangan ini, begitu yakin dan pasti bahawa firasatnya kali ini akan menjadi realiti. Sekalipun orang yang dinantinya belum tentu dan entah bila akan kembali. Hampir dua tahun Rudy, pemuda yang dipuja-pujanya pergi meninggalkannya tanpa sepatah kata.

Pun begitu, dia terus menunggu dengan seribu harapan yang entah bila akan berkesudahan. Rudy tetap di hatinya. Tidak pernah sekali pun nama itu tenggelam dari angannya. Malahan, semakin kuat debaran yang dirasa setiap kali bayangan Rudy muncul semula di ingatannya. Bagi Lara, Rudy adalah cinta pertama dan terakhirnya yang tidak mungkin dapat dilupakan begitu saja. Justeru itu, biarpun lara hati Lara, nama Rudy akan terus menginap di segenap relung hatinya selagi dia mampu menyimpannya. Begitulah teguhnya cinta Lara, gadis berketurunan Belanda yang tinggal bersama ibunya sejak bapanya kembali semula ke tanah airnya.

Seperti kebiasaannya, Lara hanyut dalam lamunan. Wajah yang sama dan kisah yang serupa mengetuk lagi pintu hatinya. Dia tidak pernah jemu melayan malah terkadang dia termenung dan tersenyum sendirian sambil berbaring di atas katil di kamar tempatnya beradu dan merehatkan badan. Sesekali, air matanya akan menitis membasahi pipinya yang gebu.

Pertemuan pertamanya dengan Rudy suatu ketika dulu pernah membuat hatinya berbunga dan berlagu rindu. Entah apalah keistimewaan Rudy sehinggakan dia sukar untuk mengenal yang hakiki. Walhal, dia tidak pernah tahu apa-apa pun tentang diri Rudy sebelumnya. Dia tidak pernah mengenal pun hati budi Rudy, apatah lagi mengetahui soal peribadinya. Baginya itu tidak penting. Yang pasti dia benar-benar telah jatuh hati terhadap Rudy sejak pandangan pertama lagi. Bagi Lara apapun yang ditakdirkan untuknya dia pasti akan redha menerima.

"Ting! Tong!" bunyi loceng pintu memecah kesunyian harinya. Lara tersentak dari lamunan. Lantas terbayang wajah Iwan pemuda berkulit hitam manis dan bertubuh tinggi lampai yang menelefonnya awal pagi tadi. Lara lupa temujanjinya dengan Iwan, sahabat yang sering menemaninya walau kemanapun dia pergi.

"Alamak! Iwan dah datang!" jerit hati Lara sambil matanya tertumpu pada jam kecil yang berada di sudut meja. Iwan tiba tepat pada masa yang dijanjikan. Segera dia melangkah ke pintu untuk menemui sahabatnya itu.
"Assalamualaikum!" ucap Iwan sopan dengan sebelah tangannya diletakkan ke belakang dan badanya sedikit ditundukkan, sebaik saja Lara muncul di depan pintu. Sambil tersenyum manis, dia memandang Lara yang masih dengan pakaian hariannya.

"Awak belum bersiap lagi?" Iwan menjerit kecil dengan matanya yang sedikit di besarkan dan senyuman yang masih terukir.
"Hehee!" Lara tersipu dan berasa sedikit bersalah. "Sorry ya Iwan!" ucapnya manja sambil melebarkan bibirnya yang kemerahan. Dia kemudiannya dengan sopan meminta Iwan menunggunya di ruang tamu.
"Tunggu sekejap tau! 5 minit aje!" katanya lagi lantas memusingkan badannya dan meluru laju ke biliknya semula. Iwan hanya mengangguk. Dia faham benar dengan sikap Lara, teman baiknya itu.

Sudah lama mereka berkawan dan hampir setiap hujung minggu mereka keluar menonton, makan dan bersiar-siar bersama. Lara adalah satu-satunya teman wanita yang Iwan punya. Baginya, Lara bukan hanya sekadar kawan biasa, malah lebih dari itu. Hatinya sentiasa berbunga setiap kali bertemu dengan Lara. Jelas, dia senang dan bahagia bila berada di samping Lara. Di hatinya ada cinta yang sedang mekar. Akan tetapi dia tidak pernah menyurakan isi hatinya. Dia benar-benar belum bersedia dan bimbang kalau-kalau Lara menolaknya. Walaupun sudah hampir setahun berlalu, Iwan belum menemukan kekuatan untuk meluahkan apa yang dirasanya. Perasaan cintanya terhadap Lara, terpendam begitu saja. Tetapi dalam masa yang sama kasih sayangnya terhadap gadis kesayangannya ini, semakin hari semakin kuat dan mendalam.

Di pihak Lara pula, dia langsung tidak pernah menyedari bahawa Iwan telah lama menyimpan perasaan cinta terhadapnya. Pada fikirannya, Iwan hanya menganggapnya sebagai teman biasa. Walaupun dia mengakui, betapa Iwan begitu mengambil berat tentang dirinya. Selama ini, Iwan-lah yang sering mengisi kesunyian dan kesepiannya. Iwan-lah yang membuatkan dia terlupa akan, apa yang sedang menganggu fikirannya. Iwan-lah yang buat dia mampu tersenyum dan ketawa. Baginya, Iwan bagaikan tongkat yang menahannya dari rebah ke tanah. Lara akui benar tentang itu.

Pernah juga dia rasa bersalah kerana menjadikan Iwan seolah-olah mangsa buat mengubat hatinya yang luka. Sekalipun Lara tidak pernah berniat begitu. Namun hatinya tetap terharu. Tetapi, Lara tiada pilihan. Hanya Iwan yang sering muncul di saat hatinya sugul. Hanya Iwan sering hadir disaat dirinya getir. Begitupun istimewa layanan Iwan, namun Lara seakan tidak mahu menerima kenyataan yang sebenar.

Beberapa minit kemudian, Lara muncul. Dia menjeling ke arah Iwan sambil melemparkan senyuman yang sedikit menggoda. Iwan membalas senyuman itu dengan getar di dadanya. Mereka kelihatan sungguh bahagia bagaikan tiada apa yang mengganggu sedang hakikatnya, masing-masing menyimpan rahsia yang terbuku.

Seperti lazimnya, destinasi mereka hanyalah di kafe yang berhampiran dengan tempat mereka tinggal. Di kafe mereka akan bercerita sambil menikmati hidangan seadanya. Sesekali, tanpa Lara sedari, Iwan mencuri-curi pandang ke wajah kesayangannya. Baginya, raut wajah manis yang suci bersih itu, sentiasa kelihatan ceria. Sedikitpun dia tidak menyedari bahawa sebenarnya wajah itu menyimpan seribu luka.

Begitulah bijaknya Lara bersandiwara, buat menutup kesakitan yang dirasanya. Biarpun lara hati Lara, dia masih mampu membalas senyuman, bila Iwan lebih dulu menghulurkan. Lara tetap bisa ketawa, bila sesekali Iwan berjenaka. Setiap kali menatap wajah Lara yang tidak kelihatan laranya, Iwan mengumpul lagi harapan yang entah sampai bila mampu disimpan. Dan Lara, terus lagi bersandiwara dengan watak bersahaja yang entah bila pula akan berakhirnya.

Begitulah setiap hujung minggu. Pertemuan demi pertemuan terus di atur. Akan tetapi, tiada keberanian yang bakal terluah. Tiada juga kesakitan yang bakal terserlah. Masing-masing mengendong rahsia yang sukar ditelah. Hampir setahun Iwan mengumpul kekuatan demi merealisasikan sebuah harapan, namun segalanya masih tidak menunjukkan tanda-tanda keberhasilan. Hampir setahun juga Lara terus menyembunyikan dukanya dari Iwan dan terus juga mengharap bulan yang dipuja jatuh keribanya.

Bagi Lara, biarpun hatinya sering diulit resah, dia akur dan tetap bersyukur, kerana dia masih punya teman yang baik seperti Iwan yang sentiasa menemani dan mendampinginya. Pun demikian, Lara tidak mahu sahabat baiknya itu, mengetahui tentang keadaan dirinya yang sebenarnya. Dia tidak mahu Iwan berasa simpati dengan apa yang ditanggungnya. Dia ada cara sendiri untuk memujuk hatinya yang hancur dan luka. "Melihat gunung yang tinggi, pasti hati teruja untuk mendaki. Namun untuk sampai ke puncak, kita harus berani jatuh walaupun berkali-kali." itulah kata-kata hikmat yang kerap singgah dan bermain di bibirnya, buat memujuk hatinya yang remuk.

Selang beberapa minggu Iwan mengajak Lara keluar lagi. Dia tidak mampu berpisah lama dengan Lara. Wajah manis Lara sering menggamit hatinya. Dia tidak dapat menahan rasa rindu yang terbuku. Biarpun tiada kata-kata dapat diungkap, dia rela asalkan Lara sentiasa bersamanya. Bagi Lara pula, dia tidak mampu menolak pelawaan sahabatnya itu. Biarpun moodnya kurang baik hati itu, tapi demi menjaga hati sahabat yang telah banyak berjasa, dia menurutinya.

Pun begitu, kali ini Lara tidak mampu bersandiwara lagi. Tingkah lakunya sedikit berubah dan menunjukkan tanda-tanda resah. Rasa rindunya terhadap Rudy bekas kekasihnya itu, tiba-tiba menerpa masuk ke dalam sangkar hatinya dan bayangan wajah Rudy turut menari-nari dihadapan matanya. Riak wajah Lara tidak seceria selalu. Iwan perasan itu bila sesekali dia merenung wajah gadis pujaanya yang dari tadi resah tidak menentu.
"Iwan! Mari kita balik!" minta Lara tiba-tiba sekali gus memecah kesunyian, biarpun belum habis makanan dijamah. 
"Emm, ok!" tanpa banyak soal, Iwan melambai waiter untuk membayar bil dan kemudian mengiringi Lara keluar dari kafe.

Dalam perjalanan pulang di dalam kereta, Lara hanya membisu. Pandangan matanya tiada titik tumpu. Fikirannya melayang jauh entah kemana.
Kerana berasa simpati, Iwan cuba menyapa. "Kenapa? Awak ada masalah ke?" Iwan menegur. Lara cuma menggelengkan kepala. Dia enggan menjawab pertanyaan itu.
"Kalau awak ada masalah, saya sedia mendengarnya. Saya tak sukalah melihat keadaan awak begini." Iwan menawarkan khidmat dengan sedikit bebelan.
"Saya tahu, tapi...", Lara cuba membalas, namun terhenti di situ. Dia malas untuk meneruskan bicara.

Kerana tidak mahu suasana semakin suram, Iwan menghidupkan switch radio di hadapannya, buat menghiburkan hati Lara kononnya. Namun, Lara tetap juga membisu dan kaku. Sesekali Iwan sempat menjeling kearah Lara. Wajah itu, hilang serinya. Iwan buntu namun tiada apa yang dapat dilakukan.

Tidak lama kemudian mereka tiba di pintu pagar rumah Lara. Tanpa berlengah, pantas Iwan turun dan membukakan pintu kereta untuk Lara kesayangannya. Lara tersenyum tawar yang terpaksa direkanya buat menjaga hati Iwan yang kelihatannya seakan bimbang.
Namun, kali ini Iwan tidak bakal tertipu lagi dengan sandiwara Lara yang kurang menjadi.
"Lain kali, kalau mood tak baik, tak payahlah keluar. Berehat je kat rumah. Saya bukan nak tengok muka awak yang kelat dan pahit tu." Iwan membebel sekali lagi, tapi kali ini sedikit tinggi nadanya namun sempat mencebikkan bibirnya, bila Lara menoleh kearahnya.
Sekali lagi Lara cuba tersenyum, kali ini rona wajahnya sedikit merah. Malu mungkin.

Iwan mengiringi Lara ke hadapan pintu pagar. Sebelum menuju semula ke kereta dan meminta izin untuk pergi, dia sempat menarik perlahan hujung rambut Lara yang panjang mencecah bahu itu, sehingga tersentak sedikit kepalanya kebelakang. Iwan ketawa kecil sambil berlari anak menuju ke kereta lalu menghidupkan enjin keretanya dan berlalu pergi. Lara masih lagi berdiri dan tergamam di situ, namun dia faham, Iwan cuba menggembirakan hatinya. Berbunga bahagia hati Lara mengenangkan sahabatnya itu yang cuba memahami masalahnya sekalipun tidak mengerti apa-apa.

Masa terus berlalu, hari terus meniti. Tak siapa pun dapat menduga, apa yang bakal terjadi keesokan hari. Hari itu seperti biasa, Lara ke pejabat dengan wajah yang sedikit ceria. Entah mengapa, hatinya hari itu berasa sungguh bahagia. Bertambah ceria hatinya bila segala urusannya hari itu selesai. Berseri-seri wajah Lara seolah ingin bertemu si buah hati lagaknya. Wana, rakan sepejabatnya, yang dari tadi asyik memerhati, turut merasakan kegembiraannya itu. Tak terasa masa berlalu. Waktu untuk pulang hampir tiba. Lara bersiap dan meninggalkan pejabat dengan hati berbunga-bunga. Walaupun memandu sendirian, dia tenang. Sempat juga dia memikirkan apa yang bakal dimasaknya untuk makan malam di rumahnya nanti.

Lara tiba dengan selamat di hadapan rumahnya. "Alhamdulillah!" dia berbisik. Perlahan keluar dari keretanya dan menuju ke pintu pagar untuk menutupnya. Tiba-tiba Lara terpaku, dia terlihat kelibat di situ, di hujung kawasan rumahnya. Dup dap! Dup dap!, jantung Lara bedegup kencang, tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Lara terus memerhati lagi dengan teliti, bimbang kalau apa yang dilihat hanya mimpi. Perlahan dia melebarkan senyuman, puas dan pasti, dia tidak bermimpi.

Wajah pada kelibat itu, walaupun pernah membuatnya sengsara, namun bila melihatnya lagi, hati Lara terus berbunga dan berpelangi semula. Wajah itu semakin hampir, dengan senyuman dan renungan tajam menikam. Semakin laju debaran jantung Lara. Ditariknya nafasnya perlahan dan dilepaskan semula. 
"Assalamualaikum!", Rudy menghulurkan salam pembuka bicara. Lara masih terpaku, jantungnya masih berdebar. Setelah beberapa saat, barulah dia mampu melontarkan suara.
"Waalaikumussalam", terketar nada suara Lara menjawab salam sambil melemparkan senyum panjang, namun matanya masih tertumpu ke wajah Rudy, orang yang dirinduinya selama ini. Dia benar-benar tidak menyangka akan bertemu dengan Rudy hari itu. Namun dia puas, kerana penantiannya selama ini telah pun berakhir. Cintanya kini telah pun kembali.

* Bersambung. Sila ikuti kesudahan cerita, dalam LARA HATI LARA 2 ....

Dilarang 'copy' tanpa kebenaran.

~ Thank You ~

No comments:

Post a Comment

DISCLAIMER
Ini adalah blog peribadi. Segala maklumat di dalam blog ini hanyalah untuk simpanan penulis sebagai rujukan di masa akan datang samada yang dipetik dari media mahupun dari hasil daya fikir penulis sendiri. Sila rujuk sumber yang lebih sahih sekiranya terdapat maklumat atau fakta yang mungkin mengelirukan kerana pihak kami tidak akan bertanggungjawab di atas apa-apa kerugian dari penggunaan sebarang info atau maklumat dari blog ini.

Terima kasih.
Sila lawati kami lagi.

Penulis blog: SURI SUTERA

Powered By Blogger
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...