Monday, January 14, 2013

* E-CERPEN ~ LARA HATI LARA 2

~ Sambungan dari LARA HATI LARA 1



Awal pagi lagi, Lara sudah bangun dan bersiap untuk menunaikan solat subuh dan menyiapkan sarapan pagi. Memandangkan hari itu ibunya tiada di rumah kerana bercuti ke luar negara, terpaksalah dia bersarapan seorang diri. Pun begitu, Lara tenang dan gembira. Pagi itu, adalah pagi yang terindah dalam sejarah hidupnya. Segalanya telah berubah. Penantiannya telah tamat. Sengsaranya telah pun berakhir. Tiada lagi masa-masa suram dan kelam. Dunia telah menjadi saksi, akan sebuah pertemuan paling indah dalam sejarah. Bakal berputik kembali, bunga-bunga cinta dan berkembang mekar lalu terbang tinggi merentasi sang pelangi. Begitulah ibaratnya, keceriaan dan kebahagian yang dirasai Lara, setelah sekian lama berpisah oleh keadaan dan masa. 

Tanpa diminta, tiba-tiba wajah Iwan sahabat setianya itu muncul jelas di fikirannya. Lara sudah tidak sabar lagi ingin menyampaikan berita gembira ini kepada Iwan. Akan tetapi, hati Lara berasa sedikit takut dan cemas dan dalam masa yang sama dia juga bimbangkan sesuatu. Bimbang berita ini akan melukakan perasaan Iwan.
"Kenapa aku harus rasa begitu?" bisik hatinya. Kebimbangannya itu buat dia berfikir lagi. "Apa agaknya reaksi Iwan nanti?" detik hatinya lagi, disertai dengan debaran di dadanya. Ingatannya beralih pula kepada Rudy, kekasihnya yang telah kembali. Namun, debarannya lebih hebat lagi. Sempat dia tersenyum.

Di pejabat, Lara masih memikirkan hal yang mula memeningkan kepalanya itu. Di matanya bayangan Iwan dan Rudy silih berganti.
"Kenapa hatiku tiba-tiba sayu." Lara merengus. Dia keliru dengan perasaannya sendiri. Dia sepatutnya bergembira dengan kehadiran Rudy. Sebaliknya, muncul pula perasaan baru yang merunsingkan hatinya. Sekali lagi, Lara cuba membayangkan apa reaksi Iwan bila menerima berita ini nanti. Ah! Tidak sanggup rasanya. Baginya, Iwan terlalu baik, untuk di lukai hatinya.
"Bagaimana kalau Iwan kecewa dengan berita ini?" hati Lara bersoal jawab tak henti. Sekali lagi wajah Rudy mengambil tempat. Lara tersenyum lagi. Namun cuma sebentar. Bayangan Iwan tampil lagi mengganggu.

Malam itu, Lara tidak boleh tidur lena. Hal yang mengganggunya siang tadi, masih membelenggu fikirannya. Dia benar-benar hairan, kenapa dia harus berasa secemas ini. Malam semakin larut tapi hatinya kian kalut. Dilihatnya jam kecil berwarna biru, di atas meja. "Hmm... sudah pukul 2 pagi," Lara merungut sendiri. Tapi matanya masih tidak mahu lelap dan terus juga berfikir. Akibat keletihan, akhirnya Lara tertidur juga, walaupun hanya beberapa jam saja lagi, dia harus bangun untuk meneruskan tugas hariannya.

Seperti selalunya, Lara bersiap untuk ke pejabat. Sebaik saja Lara keluar untuk mengunci pintu, dilihatnya Rudy telah pun berada di hadapan pagar rumahnya. "Jom saya hantar awak?" jerit Rudy dari pintu pagar yang belum terbuka.
Lara hanya membalas dengan senyuman dan hati yang bergetar sambil menuju ke pintu pagar dan membuka kunci lalu berjalan ke arah Rudy yang telah sedia menunggu untuk membukakan pintu kereta untuknya.

Berseri-seri riak wajah Lara. Tak putus-putus menguntum senyuman yang tidak lagi perlu direka-reka. Dia ikhlas dan bahagia. Kehadiran semula Rudy, benar-benar merubah kehidupannya. "Awak free tak hujung minggu ni? Apa kata kalau kita keluar dan saya belanja awak makan?" Rudy memulakan bicara, setelah beberapa minit perjalanan menuju ke pejabat Lara.
"Ok boleh, awak ambil saya di rumah ya!" Lara tidak sesekali menolak pelawaan Rudy, malah memang itulah yang ditunggu-tunggunya selama ini.

Hujung minggu berikutnya, mereka keluar seperti yang dijanjikan. Lara berdandan rapi dan terserlah ayunya dengan baju kurung berwarna biru dan scarf putih di kepalanya. Kuntuman senyum sentiasa terukir di bibir munggilnya, membayangkan betapa bahagianya dia. Rudy, yang berbadan sedikit gempal, walaupun kelihatannya tenang dan menampakkan keseriusannya, dia tetap membalas senyuman Lara. Tiba di restoran, mereka memesan makanan dan berbual. Selesai makan, Rudy menyambung perbualan. Tapi kali ini kedengaran agak serius.

"Minggu depan keluarga saya akan datang melamar awak," Rudy bersuara tanpa memandang ke wajah Lara. Malu mungkin. Namun, nada suaranya cukup meyakinkan. Lara sedikit terperanjat, walaupun memang kata-kata seperti itu yang dinantikannya. "Begitu cepat?" soal Lara, menginginkan lebih kepastian. "Nak tunggu apa lagi?" Rudy tidak menjawab sebaliknya dengan nada agak serius dia menyoal Lara kembali. "Ok! Kalau awak dah kata begitu, bila-bila masa saja saya bersedia," Lara membalas. Dia tersenyum lagi buat yang entah keberapa kali. Mungkin hatinya cukup puas, kerana segala harapannya bakal terlaksana. Rudy juga berasa lega kerana sebelum ini, terasa agak sukar untuk dia meluahkan apa yang tersimpan.

Persiapan mula diatur sesuai dengan apa yang dijanjikan. Minggu hadapan mereka akan melansungkan majlis pertunangan. Namun hati Lara sedikit gelisah. Bayangan Iwan muncul semula. Dia harus segera menyampaikan berita gembira ini, namun hatinya masih berat untuk berbuat demikian. Lara tidak sanggup berhadapan dan menatapi wajah Iwan yang bakal terluka walaupun dia tidak tahu bagaimana perasaan Iwan sebenarnya. Lara tiada pilihan. Dia harus segera bertemu Iwan, untuk meluahkan segalanya. Tapi..! Seribu persoalan mengisi lagi ruang hati. Sesak nafas Lara. Berkali-kali dia menarik nafas panjang dan dilepaskannya perlahan.

Keesokkan harinya, setelah beberapa kali berfikir, Lara nekad. Dia tidak akan bertemu Iwan lagi. Biar apapun yang Iwan sangka, tapi itulah keputusannya. Dia tidak mampu menunggu lebih lama. Dengan langkah longlai dia menuju ke kamarnya dan mencapai telefon bimbit yang berada di atas meja di sudut biliknya. Digenggamnya kuat. Ditenungnya telefon itu dengan wajah sayu. Dengan hati berbelah bagi, dia mendail nombor Iwan dan telefon di tangan diangkat dan dibawanya ke telinga. Berdebar kencang dada Lara, menunggu jawapan.

"Hello! Iwan sini!" kedengaran ceria, suara Iwan di talian. Lara membisu seketika namun sempat menarik nafas bagi meredakan perasaannya.
"Ya! Hello Iwan" suara Lara terketar sedikit tetapi terpaksa menyambungnya. "Saya ada sesuatu nak beritahu awak!" Lara memberanikan diri bersuara. "Ok! Petang nanti kita jumpa," balas Iwan tanpa rasa curiga.
"Emm... tak boleh! Saya akan beritahu awak sekarang!" Lara makin berani, biarpun hatinya masih berat. "Ok! Cakap ajelah! Untuk awak, lama manapun saya akan tunggu," seloroh Iwan. Namun kata-kata itu tidak sedikit pun menarik hati Lara.

"Iwan, minggu depan saya akan bertunang," tanpa buang masa, Lara terus meluahkan apa yang ingin di sampaikannya. Dia tak mahu memendam rasa lagi. "Maafkan saya Iwan, kalau ini melukakan hati awak!" Lara menyambung luahannya semakin berani namun suaranya seakan tersekat-sekat menahan rasa pilu. "Maafkan saya sebab tak pernah beritahu awak tentang saya dan Rrru..." Lara mohon maaf sekali lagi dan cuba menyatakan sesuatu tentang Rudy, namun dia tidak berdaya meneruskan. Dia pasti nama itu hanya akan menambah lagi luka hati Iwan.

Di hujung sana, Iwan tergaman, bisu dan lesu. Tiada kata-kata dapat dilafaz. Apa yang disampaikan Lara sebentar tadi, benar-benar menikam sukmanya. Hatinya terhiris dan pedih yang teramat. Iwan tidak menyangka Lara sanggup menyembunyikan sesuatu darinya selama ini. Berita mengejut ini sudah pasti membuat hatinya hancur berkecai. Iwan terus membisu. Dan dalam masa yang sama, hatinya terasa sakit, kesal dan kecewa dengan apa yang didengarnya. Segalanya telah hancur, segalanya telah musnah. Harapannya telah terkubur bersama hatinya yang lebur. Dia terpaksa akur biarpun berat. Wajah kesayangannya bakal hilang dari pandangannya buat selama-lamanya. Maka akan tamatlah sebuah ikatan, yang di dalamnya tersembunyi bibit-bibit cinta yang mekar yang akhirnya musnah tanpa sempat diluah.

Lara turut membisu. Dia tidak mampu meneruskan bicara. Perlahan titisan air jernih, gugur satu persatu. Dilepaskannya telefonnya dari gengaman. Hatinya sebak. Airmatanya semakin deras mengalir membasahi pipinya. Pun begitu dia merasa sedikit lega kerana tidak perlu berahsia lagi.

Beberapa hari saja lagi, majlis pertunangan akan berlangsung. Masih ada barang keperluan yang harus dibeli. Justeru Lara mengajak Wana, teman sepejabatnya, menemaninya ke kedai menjual peralatan perkahwinan, yang berdekatan. Seronok benar mereka nampaknya. Sedang mereka sibuk memilih barang yang hendak dibeli, tiba-tiba mereka didatangi seseorang. Azman, rakan sepejabat Iwan.
"Lara! Sampai hati awak kecewakan Iwan. Awak tahu tak betapa sayangnya Iwan pada awak. Apakah selama ini awak tidak dapat rasa apa yang Iwan rasa?" Azman tiba-tiba menyoal, sambil memandang tajam ke wajah Lara dan kemudian terus berlalu. Azman seakan marah dan membela sahabatnya.

Lara tergamam. Wana, turut sama. Mereka terdiam seketika. Lara menarik nafas, namun sekali lagi juraian air jernih turun ke pipinya. Kerana ramai orang berada di situ, Lara segera mengesat airmatanya. Kini dia mengerti, kenapa begitu berat hatinya, saat dia ingin menyampaikan berita tentang pertunangannya kepada Iwan. Sesungguhnya, nalurinya telah lama merasakan semua itu, namun kerana bayangan Rudy yang tidak henti-henti menghantui, dia 'buta' menilai cinta, orang yang selalu mendampinginya. Namun Lara pasrah. Dia harus cuba melupakan segalanya walaupun tanpa relanya.

Masa terus berlalu. Setelah hampir 6 bulan bertunangan, kini Lara dan Rudy akhirnya sah menjadi pasangan suami isteri. Bermulalah fasa baru dalam kehidupan mereka. Kasih sayang dan kemesraan mengikat hubungan mereka berdua. Hati Lara kini bersenandung bahagia. Tiada lagi uraian airmata. Lara sudah tidak lara lagi. Setelah sekian lama dimamah kedukaan, akhirnya dia menemui kebahagiaan yang dicarinya.

Namun, bulan di langit, tidak selalu bercahaya. Si awan yang cemburu, sengaja melintas lalu. Tidak sampai pun beberapa bulan usia perkahwinan mereka, Rudy mula berubah. Sikap sebenarnya mula terserlah. Dia seorang yang kuat cemburu dan mudah marah. Hal yang kecil sekalipun, akan membuatkan dia hilang punca. Pantang silap sikit, berjela-jela teks khutbah disusun dan dilemparkannya ke telinga Lara. Usahkan kata-kata, tangannya pun pernah hinggap ke muka.

Semalam, ketika dalam perjalanan pulang dari pejabat, kereta Lara mengalami kerosakan. Terpaksalah dia menelefon bengkel yang berdekatan untuk menarik keretanya yang rosak. Oleh kerana kereta tidak dapat disiapkan dalam masa yang singkat, terpaksalah Lara pulang menaiki bas memandangkan Rudy tidak dapat menjemputnya kerana bekerja lewat masa. Untunglah ada Amir, jiran mereka yang kebetulan lalu di situ, menawarkan untuk menumpangkan Lara pulang. Oleh kerana hari semakin gelap, Lara menerima pelawaan itu tanpa soal jawab.

"Awak naik bas ke tadi?" soal Rudy sambil melabuhkan punggungnya ke atas sofa di ruang tamu sebaik saja pulang dari pejabat. "Emm... tak! Amir, jiran sebelah yang tumpangkan saya tadi. Kebetulan dia nampak saya di...," belum sempat Lara menghabiskan cerita, pantas Rudy memancung bicaranya. "Kenapa? Dah tak ada bas atau teksi nak naik?" Rudy menyoal lagi dengan sedikit perasaan marah. "Bukan macam tu, hari kan dah lewat, apa salahnya dia tumpangkan saya." Lara cuba menerangkan.

"Salah, memang salah! Awak kan isteri orang! Awak saja nak 'menggatal' kan? Herdik Rudy yang tidak berpuas hati dengan penerangan Lara. Lara sedikit geram dengan kata-kata kesat yang menerjah masuk ke gegendang telinganya itu. "Kenapa dengan awak ni? Itu pun nak marah. Dia ikhlas tumpangkan saya." Lara terus berusaha menyakinkan Rudy. Tapi semakin Lara bersuara semakin berasap-asap bara kemarahannya. Akhirnya, Lara terpaksa beralah. Ditariknya nafasnya panjang-panjang dan diurut dadanya yang sedikit sesak.

Rudy masih tidak berpuas hati. Sepanjang malam dia asyik membebel dan mengungkit hal yang sama. "Mulai esok, awak tak payah pergi ke pejabat lagi. Saya mahu awak berhenti bekerja" jerit Rudy lagi sambil menendang daun pintu bilik lalu menghempaskan dirinya ke katil.
Lara menarik nafas lagi, dia tidak mampu membantah kehendak Rudy. Kalau sampai tembok kesabarannya roboh, pasti tangannya hinggap lagi ke muka. Paling tidak pun, berpantul-pantul kalimat beracun bakal singgah lagi ke telinganya. 

Sesungguhnya, Lara tidak mampu lagi untuk mendengarnya. Tangki hatinya telah hampir penuh untuk diisi lagi dengan ayat-ayat bisa yang bakal terkesan di hati dan tersimpan di sepanjang hayatnya. Airmata Lara berguguran lagi. Kali ini dia terpaksa pasrah dan akur dengan segala yang terjadi. Walaupun dia seakan menyesali apa yang telah menjadi pilihannya selama ini, dia harus banyak bersabar dan menerima kekurangan Rudy seadanya.

Walaupun kenyataannya pahit, namun kasih sayang Lara terhadap Rudy masih belum terpalit. Lara terus memujuk hatinya. Andai ini yang tertulis di dalam lipatan hidupnya, dia redha. Kini dia hanya mampu menghimpunkan seribu doa dan menyusun segunung harapan, agar Rudy berubah suatu hari nanti.

Sedang Lara termenung mengenangkan nasib diri, bayangan Iwan perlahan-lahan mula menjerngah masuk ke sudut hatinya. Iwan bagaikan tersenyum menghulurkan tangan, menyambut kehadirannya. Bergetar hati Lara. Tiba-tiba dia berasa rindu kepada sahabatnya itu. Terasa mahu saja dia berlari mendapatkan Iwan dan mendakapnya. Tentu saja dia akan mengadu dan meluahkan segala kesedihannya kepada Iwan.

"Sekiranya Iwan ada di sisi, sudah pasti Iwan tidak akan membiarkan hidupku melara begini." Lara mula berkira-kira. Sengaja dibiarkan fikirannya melayang jauh sambil mengimbau kenangan manis sewaktu mereka bersama dulu. Sempat dia menguntum senyuman.

Namun, segalanya hanya tinggal kenangan. Lara pasti, mereka tidak mungkin akan bertemu lagi. Usahkan bertemu, mendengar suara Iwan sekalipun belum tentu. Lara tidak mahu ambil risiko. Dia tidak mahu menambah lagi beban yang sedia ditanggungnya. Kalau sampai Rudy tahu akan rahsia ini, sudah pasti berbakul-bakul maki hamun bakal ditelannya atau mungkin saja Iwan akan di belasah teruk oleh Rudy nanti.

Justeru itu, biarlah dia terus melara, asalkan tiada hati yang bakal terluka dan tiada nyawa yang bakal terkorban. Lara rela, demi kasihnya kepada kedua-duanya.

Sekian.

Hasil karya: * Ozie Mahsa (January 2013)
http://ziemahmud.blogspot.com/
Email: rozitamahmud10@yahoo.com

* Nama watak dan jalan cerita untuk cerpen ini, hanyalah rekaan semata-mata. Sebarang persamaan hanyalah secara kebetulan dan tiada kena mengena dengan sesiapa.

Dilarang 'copy' tanpa kebenaran. 


~ Thank You ~

No comments:

Post a Comment

DISCLAIMER
Ini adalah blog peribadi. Segala maklumat di dalam blog ini hanyalah untuk simpanan penulis sebagai rujukan di masa akan datang samada yang dipetik dari media mahupun dari hasil daya fikir penulis sendiri. Sila rujuk sumber yang lebih sahih sekiranya terdapat maklumat atau fakta yang mungkin mengelirukan kerana pihak kami tidak akan bertanggungjawab di atas apa-apa kerugian dari penggunaan sebarang info atau maklumat dari blog ini.

Terima kasih.
Sila lawati kami lagi.

Penulis blog: SURI SUTERA

Powered By Blogger
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...