Wednesday, January 29, 2014

* TIP/PANDUAN ~ MENGEMAS DAN MENJAGA PERALATAN RUMAH BHG. 2

Berikut adalah diantara panduan ringkas yang mungkin lebih praktikal dan berguna untuk kita semua terutamanya kepada mereka yang belum dan bakal mendirikan rumahtangga, dalam melaksanakan tugas-tugas harian di rumah.




PENGGUNAAN TONG SAMPAH
1. Gunakan plastik dan tong sampah yang bersaiz kecil untuk membuang sisa-sisa makanan berhampiran singki bagi menggalakkan anda sering membuang sampah bila penuh. Tong sampah yang besar akan membuatkan anda menyimpan sampah dalam jangka masa yang lama dan menimbulkan bau busuk kerana anda menunggu sampah penuh sebelum dibuang.

2. Jangan menyimpan tong sampah yang terbuka dan yang boleh dimasuki air di dalam bilik air kerana air yang mungkin termasuk ke dalam tong akan menyebabkan bau busuk dan pembiakan nyamuk.

BEKAS MENYIMPAN AIR MASAK/PUTIH
1. Cuci bekas-bekas minuman sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu atau setiap kali bekas telah kosong. Walaupun bekas kelihatan tidak kotor, sebenarnya bahagian dinding sebelah dalam bekas akan berlendir jika dibiarkan beberapa hari tidak bercuci. Lendir ini mungkin mengandungi kuman atau bakteria.

2. Gunakan berus yang panjang untuk membersihkan bekas minuman yang berbentuk botol.

CADAR, SARUNG BANTAL DAN SELIMUT
1. Tukar cadar dan selimut sekurang-kurangnya sebulan sekali untuk mengelakkan rasa miang dan gatal ketika tidur.

2. Tukar sarung bantal sekurangnya setiap minggu kerana bantal yang lama tidak diganti mungkin tidak baik untuk mereka yang mempunyai kulit muka yang sensitif.

MENGEMAS PAKAIAN
1. Sekiranya anda menyangkut pakaian di dalam almari, susun penyangkut mengikut arah yang sama bagi mengelakkan penyangkut tersangkut antara satu sama lain apabila dikeluarkan. Selain itu, almari anda juga akan kelihatan lebih kemas.

2. Susun pakaian mengikut jenis. Contoh, seluar dan baju tidak dicampurkan. Atau yang berlengan pendek tidak dicampurkan dengan yang berlengan panjang, begitu juga yang berkolar dan yang tidak berkolar.

MENYIMPAN SELIMUT TEBAL/COMFORTER
Sekiranya anda menyimpan banyak selimut tebal di rumah dan tidak tahu bagaimana cara untuk menyimpannya kerana ketiadaan tempat yang sesuai untuk dimuatkan, berikut adalah cara terbaik yang mungkin lebih praktikal. Simpan selimut anda dalam sarung bantal mengikut saiz yang sesuai. Selimut yang lebih tebal mungkin sesuai dengan sarung bantal bersaiz 'king'. Caranya, lipat selimut dengan kemas sehingga muat dengan saiz sarung bantal yang anda pilih dan masukkan ke dalam sarung bantal tersebut. Setelah itu susun atau letakkan di atas katil. Ia akan kelihatan seperti bantal dan ruang bilik anda akan kelihatan lebih kemas.

MENYIMPAN DAN MENGEMAS BEG
Menyimpan beg terlalu banyak di dalam bilik tidur mungkin akan membuatkan bilik anda kelihatan semak selain dari ia akan mengumpulkan banyak habuk. Caranya, simpan beg yang bersaiz kecil ke dalam beg yang bersaiz sederhana. Simpan beg yang bersaiz sederhana itu ke dalam beg yang lebih besar dan begitulah seterusnya mengikut jenis-jenis beg. Dengan cara ini anda tidak perlu banyak ruang untuk menyimpan beg-beg tersebut.

....bersambung dalam...

*TIP/PANDUAN ~ MENGEMAS DAN MENJAGA PERALATAN RUMAH BGH. 3

~ Thank You ~

1 comment:

  1. Bila cerita ttg cadar.. dulu zaman duduk rumah bujang saya terfikir balik... berapa lamalah cadar tu diguna mcm tu je.. rasanya dah 6 bulan guna baru nk basuh kot hahaa.. :D

    ReplyDelete

DISCLAIMER
Ini adalah blog peribadi. Segala maklumat di dalam blog ini hanyalah untuk simpanan penulis sebagai rujukan di masa akan datang samada yang dipetik dari media mahupun dari hasil daya fikir penulis sendiri. Sila rujuk sumber yang lebih sahih sekiranya terdapat maklumat atau fakta yang mungkin mengelirukan kerana pihak kami tidak akan bertanggungjawab di atas apa-apa kerugian dari penggunaan sebarang info atau maklumat dari blog ini.

Terima kasih.
Sila lawati kami lagi.

Penulis blog: SURI SUTERA

Powered By Blogger
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...