Tuesday, August 12, 2014

* DIARI HATI ~ TAKDIR TUHAN (KISAH SEMALAM)

Dunia ini bukan milik sesiapa.
~ Ozie



Hari ini, bertarikh 20hb. Julai bersamaan hari Isnin 2014, lagi antara ujian besar yang harus saya hadapi dalam hidup ini. Berada di wad hospital di bulan ramadhan memang amat menyiksa jiwa raga. Pun begitu, menemani suami yang sedang sakit adalah tanggungjawab yang harus saya terima seikhlasnya. Sesekali bila keletihan atau berasa bosan berada di sisi katil dimana suami saya di tempatkan, saya keluar sebentar di luar kawasan wad untuk menenangkan fikiran dan merehatkan badan dengan cuma duduk di atas lantai dan bersandar di dinding, memandangkan tiada satu kerusi pun disediakan di kawasan tersebut. Keadaan di luar wad tingkat 8 ketika itu, agak sunyi kerana waktu melawat telah pun habis.

Sambil termenung dan mengenang nasib diri sesekali airmata saya perlahan mengalir ke pipi. Tiba-tiba pandangan beralih kepada seseorang yang lalu di hadapan saya. Seorang budak lelaki yang duduk di kerusi roda dengan kaki kanannya berbalut, serta mukanya ditutupi 'mask' yang biasanya kita gunakan di musim jerebu. Dia berhenti betul-betul di sebelah saya. 
Airmata yang menitis di pipi saya sapu dengan jari sambil memerhatikan saja budak lelaki itu kerana malas dan kurang mood untuk bertegur sapa. 

Beberapa minit kemudian, budak lelaki itu bersuara namun saya kurang pasti apa yang dicakapkannya memandangkan fikiran saya melayang entah kemana waktu itu. Saya tanyakan kembali apa yang diperkatakannya tadi. "Kak, boleh beri saya dua ringgit?", ulangnya. Saya hairan dengan permintaannya lalu saya bertanya untuk apa dia perlukan wang sebanyak dua ringgit itu. Dia menjawab, "Saya nak beli mee kak!". Sekali lagi saya kehairanan. Memandangkan tiada siapa yang menemaninya, saya bertanya lagi. "Keluarga adik tak menemani adik ke?". "Biasalah kak, saya tinggal dengan bapa tiri", jawabnya pendek dan perlahan. Melihatkan kaki kanannya yang berbalut, saya mengajukan soalan lagi. "Kenapa dengan kaki adik tu?" "Jangkitan kuman kak", jawabnya.


Tiada lagi soalan untuk saya tanyakan maka saya pun mengeluarkan wang bernilai RM5 dari tas tangan yang sentiasa saya bawa kemana-mana, lalu saya hulurkan kepadanya. Dia mengucapkan terima kasih lalu beredar dengan mengayuh kerusi roda menggunakan kaki kirinnya dan turun ke tingkat bawah menggunakan 'lift' seorang diri. Saya terus berfikir lagi mengenai budak lelaki itu. Mungkin dia sudah terlalu lama berada di wad hospital dan sudah jemu makan makanan yang sama dan teringin pula makan mee, tetapi tidak diberikan wang belanja oleh keluarganya. Mengalir laju airmata saya tanpa dipinta dan terfikir yang nasib saya mungkin tidaklah semalang nasib budak lelaki tersebut.


Sejurus selepas budak lelaki itu pergi, datang perasaan kesal dalam diri. Kenapa saya hanya memberinya RM5 sedangkan saya ada lebih wang ketika itu. Tiada ruginya kalau saya memberi lebih dari itu. Bisik hati saya. Saya keluarkan lagi beberapa puluh ringgit dari tas tangan dan menggengamnya erat di tangan kanan. Saya nekad untuk menunggu budak itu naik semula. Mata saya beberapa kali tertumpu di kawasan hadapan lift dengan harapan budak lelaki itu naik segera.


Beberapa minit kemudian budak lelaki itu muncul dengan bungkusan makanan di tangannya tetapi kali ini ada seorang jururawat lelaki membantu menolak kerusi roda budak lelaki tersebut. Lega hati saya melihatnya. Sebaik sahaja dia melintas di hadapan saya, saya hulurkan wang yang saya genggam dari tadi kepadanya. Dia seakan terkejut namun sempat juga melahirkan ucapan 'terima kasih'. Saya hanya mampu tersenyum dan menganguk serta membiarkan saja dia berlalu menuju ke wadnya. Pun begitu, saya agak terkilan sebenarnya kerana tidak dapat melihat wajah di sebalik 'mask' itu.

Walau apa pun kisah yang tersirat di sebalik kejadian itu, saya tetap ikhlas dan rasa bertanggungjawab untuk membantu.

SALAM TULUS IKHLAS!
~ Thank You ~

2 comments:

  1. Semoga Allah jua yg membalas atas segala usaha ikhlas kita... Salam Syawal & semoga cepat pulih serta sembuh spt sediakala... aamiin.

    ReplyDelete
  2. kak, ni cerita benar akak ke cerpen?

    ReplyDelete

DISCLAIMER
Ini adalah blog peribadi. Segala maklumat di dalam blog ini hanyalah untuk simpanan penulis sebagai rujukan di masa akan datang samada yang dipetik dari media mahupun dari hasil daya fikir penulis sendiri. Sila rujuk sumber yang lebih sahih sekiranya terdapat maklumat atau fakta yang mungkin mengelirukan kerana pihak kami tidak akan bertanggungjawab di atas apa-apa kerugian dari penggunaan sebarang info atau maklumat dari blog ini.

Terima kasih.
Sila lawati kami lagi.

Penulis blog: SURI SUTERA

Powered By Blogger
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...