Love someone with a sincere heart .....
~ Ozie
PARAS RUPA BUKAN UKURAN
Anis (bukan nama sebenar), seorang gadis biasa yang berasal dari kampung, baru sahaja datang ke Bandar, dibawa oleh bapa saudaranya yang kebetulan ditugaskan bekerja di Kuala Lumpur. Dengan berbekalkan Sijil Tamat Sekolah, dia memohon pekerjaan sebagai Pembantu disebuah kedai menjual peralatan sukan. Setelah beberapa bulan bekerja, Anis yang sememangnya peramah dan mudah mesra dengan sesiapa saja yang dikenalinya, kini semakin ghairah meneruskan kehidupannya sebagai gadis kota.
Dengan raut wajahnya yang agak menarik, tidak hairanlah kalau dia sering menjadi siulan pemuda-pemuda kota yang sering datang ke kedai mahu pun yang lalu lalang di hadapan kedai tempat dia bekerja itu. Anis mula merasa dirinya sering diperhatikan dan tanpa disedari sikap sombong mula menguasai dirinya. Semakin ramai jejaka yang mengusik dan menegurnya, semakin menebal pula rasa bangga yang bertapak di hatinya. Anis menjadi semakin lincah dan sudah berani pula mencaci dan memaki mana-mana pemuda yang dirasakannya kurang tampan dan tidak layak dijadikan teman. Pendek kata, Anis hanya akan melayan pemuda-pemuda yang kacak sahaja untuk dijadikan teman atau kekasihnya. Pernah suatu ketika, seorang pemuda cuba menegurnya, namun oleh kerana pemuda itu tidak menepati 'mata' dan 'seleranya' maka terhamburlah perkataan, "Muka macam tu pun ada hati nak mengurat orang". Anis mengherdik sambil menjeling kearah pemuda itu. Merah padam muka pemuda itu dan terus segera berlalu. Begitulah sikap Anis yang tidak pernah rasa bersalah atau peduli dengan perasaan orang yang dihinanya.
Tanpa disedari, masa terus berlalu dan usia Anis pun sudah semakin meningkat. Namun agak menghairankan, biarpun Anis punya ramai teman-teman lelaki, tapi tidak ada seorang pun yang mahu menganggapnya sebagai teman istimewa. Setelah diteliti dan dikaji, akhirnya Anis menemui jawapan. Menurut teman-teman lelakinya itu, mereka hanya menganggap Anis sebagai kawan biasa dan melayaninya hanya untuk bersuka-suka saja. Biarpun Anis agak terkejut dengan jawapan selamba yang diberikan mereka, Anis mula berfikir dan mencari-cari kesilapan dirinya. Dia tahu bahawa selama ini, dia terlalu sombong dan bangga dengan kelebihan dirinya tanpa menyedari, dirinya hanya diperalatkan oleh pemuda-pemuda tampan yang menjadi pilihannya itu. Dengan perasaan yang agak keliru, Anis teringat kembali kepada mereka yang pernah dicacinya dahulu. Anis mula menyesal dan berasa malu dengan sikapnya selama ini. Tanpa berfikir panjang, akhirnya Anis mengambil keputusan untuk berhenti bekerja dan kembali semula ke kampung halamannya.
Setelah beberapa bulan berada di Kampung, tanpa mengadakan perbincangan terlebih dahulu, ibubapa Anis memaksanya berkahwin dengan pemuda kampung pilihan mereka, kerana agak risau memikirkan usia Anis yang semakin lanjut. Tanpa banyak alasan, Anis menerima sahaja pemuda yang dicadangkan oleh ibubapanya biarpun jauh disudut hatinya, dia langsung tidak berminat atau menyukai pemuda itu apatah lagi untuk menyintainya. Selepas berkahwin, Anis menjalani kehidupan berumahtangga sama seperti orang lain biarpun dengan sedikit rasa terpaksa dan kurang keikhlasan, dia tetap meneruskan juga kehidupannya sebagai suami isteri.
Masa terus jua berlalu tanpa menoleh, dan sedar tak sedar Anis telah pun berbadan dua. Ketika inilah, Anis mula merasakan sesuatu tentang suaminya. Anis mula sedar bahawa suaminya bukan sahaja seorang yang sangat taat dengan suruhan agama, malah terlalu baik pula terhadap Anis. Setiap kata Anis dituruti tanpa banyak alasan. Apa sahaja yang Anis pinta akan diberikan. Anis mula terasa bahawa dia telah mula jatuh cinta dengan suaminya yang tidak pernah dicintainya sebelum ini. Kini Anis sedar, paras rupa bukan ukuran kepada sebuah kebahagiaan yang diidamkan. Biarpun suaminya tidak setampan bekas-bekas teman lelakinya dahulu, namun sikap suaminya jauh lebih baik dari mereka. Akhirnya Anis akur dengan kebenaran bahawa yang cantik itu tidak semestinya baik atau berkualiti dan yang buruk itu tidak semestinya tidak elok atau tidak berguna. Dengan rasa penuh keinsafan Anis memohon maaf dari suami yang pernah diberikan layanan buruk sebelum ini. Anis merasa sangat bersyukur dan berterima kasih kepada ibubapa yang telah menjodohkanya dan dalam diam dia berazam dan bertekad untuk melayani dan menjaga suaminya dengan baik.
Demikianlah adanya kisah dan kehidupan seorang wanita yang merasakan dirinya punyai kelebihan tetapi mengetepikan hak orang lain yang sepatutnya diberikan layanan yang baik juga. Ketahuilah kita bahawa sesungguhnya, disisi Tuhan kita semua adalah sama. Tiada yang lebih istimewa melainkan Dia. Sama-samalah kita menghargai apa yang diberi dan gunakan segala kelebihan untuk sesuatu yang diredhai. Wallahualam.
Olahan Cerita: * Ozie
* Please CLICK HERE to see more stories.
~ Thank You ~
No comments:
Post a Comment
DISCLAIMER
Ini adalah blog peribadi. Segala maklumat di dalam blog ini hanyalah untuk simpanan penulis sebagai rujukan di masa akan datang samada yang dipetik dari media mahupun dari hasil daya fikir penulis sendiri. Sila rujuk sumber yang lebih sahih sekiranya terdapat maklumat atau fakta yang mungkin mengelirukan kerana pihak kami tidak akan bertanggungjawab di atas apa-apa kerugian dari penggunaan sebarang info atau maklumat dari blog ini.
Terima kasih.
Sila lawati kami lagi.
Penulis blog: SURI SUTERA