KEMBALIKAN MATAHARIKU
Si awan kelabu ...
nakalnya membuatku celaru
nuraga tak bertamu, cemburu tak menentu
ralit menyanjung diri, berpanjangan iri hati
lakunya yang tak keruan, menyirnakan kesabaran
namun, demi matahariku yang luhur jiwa
segalanya harus ku terima dengan rela ...
Seiring masa yang rancak bertingkah
ruang harapku perlahan-lahan lenyap
tanpa satu pun bisikan, yang mampu ku garap
esak dan tangisan tak membawa makna
malah, seringkali pula aku ditertawa
terkadang, hampir saja aku hilang punca
pun si awan kelabu lakunya kian menggila ...
Taufan rinduku kian gagah mengasak
semakin gasar, dialun sendu dan sebak
rohaniku melara, jasmaniku tak bergerak
gagal mengungkai angkara yang tercipta
kewajaan hancur terlerai di dakapan rasa
kata-kata tak mampu ku semai menjadi bunga
meratap penuh hiba terlantar dalam kecewa
matahari yang ku puja entah bila munculnya ...
Namun, di saat hatiku sedih tidak terkata
di kala jiwa diamuk rasa yang berbeza
hadir sang angin menawarkan khidmatnya
bersaksikan si langit luas nan indah membiru
si awan kelabu, menyekat perilaku
berlalulah ia dengan rasa bersalah dan malu ...
Dan akhirnya ...
matahariku kini memancar semula
ikhlas berbakti menyemarakkan jiwa
gemilang seri dan kilau cahaya
membibitkan kembali ghairah cinta .....
By: * OZIE MAHSA (6th. March 2013)
* Please CLICK HERE to see more poems.
~ Thank You ~
No comments:
Post a Comment
DISCLAIMER
Ini adalah blog peribadi. Segala maklumat di dalam blog ini hanyalah untuk simpanan penulis sebagai rujukan di masa akan datang samada yang dipetik dari media mahupun dari hasil daya fikir penulis sendiri. Sila rujuk sumber yang lebih sahih sekiranya terdapat maklumat atau fakta yang mungkin mengelirukan kerana pihak kami tidak akan bertanggungjawab di atas apa-apa kerugian dari penggunaan sebarang info atau maklumat dari blog ini.
Terima kasih.
Sila lawati kami lagi.
Penulis blog: SURI SUTERA